BALING: Seorang lelaki maut akibat dirempuh sebuah Perodua Myvi ketika dia terjatuh di laluan bertentangan dalam kemalangan di Kampung Padang Kulim, Jalan Kuala Ketil-Parit Panjang, pada pukul 8.10 pagi ini.
Mangsa, Mohamad Syafiq Izzuan Mohd. Subri, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sebelum itu didapati hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Kuala Darak menghala ke ladang ayam di Batu 5.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, ketika tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi dipandu seorang guru wanita berusia 35 tahun yang membawa tiga anaknya berusia dua hingga 10 tahun telah terlanggar mangsa yang terjatuh di laluannya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang bekerja di ladang ayam mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Shamsudin berkata, pemandu kereta bersama tiga anaknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, seorang pemandu lori maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan di Kampung Kubang Berdenggung, Jalan Sungai Petani/Baling, pada pukul 8.59 pagi, hari ini.
Mangsa, M. Moganasuntheram, 60, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dalaman badan selain tersepit di tempat duduk pemandu.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa menaiki kereta jenis Proton Saga dari arah Sungai Petani menghala ke rumahnya di Taman Orkid, Kuala Ketil. Kereta dipandunya dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terjatuh ke dalam semak,” katanya. -UTUSAN











