Pizza ‘mewah’ cita rasa kampung ikut ‘tekak’ orang Melayu

Pizza ‘mewah’ cita rasa kampung ikut ‘tekak’ orang Melayu

ZULHILMI Yatim dan Umi Nasihah Mat Yusof menunjukkan antara pizza yang dijual di kedainya di Paya Datu, Manir, Kuala Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA.KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri berani mengambil risiko untuk menjual pizza mewah dengan cita rasa kampung sebagai produk utama perniagaan mereka sejak tiga tahun lalu.

Zulhilmi Yatim, 35, dan isterinya, Umi Nasihah Mat Yusof, 34, berkata, idea untuk memperkenalkan topping pizza cita rasa kampung itu timbul kerana mahu tampil berbeza dalam pasaran tempatan.

Menurutnya, antara topping pizza yang mendapat sambutan hangat di kedainya iaitu Pizza Medira ialah ayam salai, ayam bakar, kambing bakar serta pisang dan coklat.

“Saya dan isteri mahu menampilkan kelainan untuk pizza yang dihasilkan, jadi timbul idea untuk mengeluarkan pizza yang lebih menepati cita rasa orang kampung.

“Alhamdulillah, sambutan diterima sangat memberangsangkan terutama selepas Oktober 2023 kerana sentimen orang ramai yang mahu menyokong produk Melayu Islam semakin menebal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya dekat Paya Datu, Manir, di sini, semalam.

Antara topping lain yang dijual ialah beef pepperoni, seafood, chicken pepperoni, thousand tuna, chicken chop, keju tarik dan bebola daging.

Setiap pizza dijual bermula RM17 hingga RM40 bergantung kepada saiz pizza dan jenis topping yang digunakan.

Ketika ini, mereka berdua sedang dalam proses untuk mendapatkan persijilan halal dengan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Zulhilmi berkata, walaupun kedudukan kedainya agak tersorok di dalam kampun, namun ia tidak menjejaskan perniagaan Pizza Medira kerana kualiti yang baik dan rasanya yang sedap membuatkan ramai pelanggan sanggup datang walau dari jauh.

“Kami turut menyediakan khidmat penghantaran kepada pelanggan dengan jarak radius tujuh kilometer dari kedai serta berdaftar dengan aplikasi Grab dan Misi Rakyat untuk kemudahan pelanggan.

“Perancangan kami adalah untuk menambah lebih banyak menu-menu ‘kampung’ dan membuka lebih banyak cawangan sebelum akhir tahun ini,” katanya yang mempunyai 10 orang pekerja ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×