TAHUN ini, dunia bakal melihat industri semikonduktor global kembali bersinar selepas ia berdepan cabaran getir akibat pertumbuhan lembab ekoran gangguan rantaian bekalan semasa Covid-19.
Ia ekoran Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) meramalkan peningkatan pendapatan sebanyak 26 peratus hasil daripada perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) generatif sejak 2023. Susulan daripada pengumuman tersebut, pasaran saham utama Asia bergelora, dengan KOSPI Korea Selatan, ASX Australia, Hang Seng Hong Kong, TAIEX Taiwan, dan indeks Nikkei 225 Jepun masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus, 0.8 peratus, 0.5 peratus, 0.33 peratus, dan 1.6 peratus.
Sementara pasaran saham Asia kembali rancak berikutan ramalan positif TSMC. Fenomena ini menunjukkan kepentingan pengeluar cip kontrak terbesar di dunia dalam pemerkasaan pelbagai industri yang memerlukan cip canggih sebagai kesiapsiagaan untuk memasuki era AI.
Baik kenderaan elektrik dan autonomi, analisis data raya, robotik, mahupun pendidikan atau penjagaan kesihatan, cip kecil tetap menjadi komponen terpenting dalam menjamin perkembangan kesemua industri ini bagi tempoh beberapa tahun yang akan datang.
Di samping itu, tindak balas pasaran saham Asia terus mengukuhkan kepentingan cip sebagai ‘minyak baharu’ dunia. Kuasa-kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan China sekali lagi menunjukkan kepentingan cip dalam memperkasakan pembangunan ekonomi berpacukan AI bukan sahaja oleh Washington dan Beijing, tetapi juga negara-negara membangun di seluruh dunia.
Malah, semikonduktor, iaitu bahan substrat yang biasanya diperbuat daripada silikon yang mempamerkan kekonduksian elektrik di antara konduktor dan penebat juga muncul sebagai komponen penting untuk menjayakan pemasangan litar bersepadu (IC) dalam telefon pintar, komputer, televisyen dan sistem komunikasi lain dalam kenderaan serta infrastruktur berteknologi tinggi.
Bagi negara-negara Asia Tenggara yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan semikonduktor seperti Malaysia, Singapura dan Vietnam, pertumbuhan ekonomi yang digerakkan oleh AI semestinya merupakan peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Ini kerana kita telah menyaksikan bagaimana ketiga-tiga negara ini berkejar-kejar untuk menarik pelaburan semikonduktor asing melalui pendekatan yang berbeza sejak beberapa tahun yang lepas.
PANDANGAN ASIA TENGGARA
Secara kolektifnya, Malaysia, Singapura dan Vietnam mempunyai pendekatan masing-masing dalam industri semikonduktor bagi tiga tahun kebelakangan ini. Vietnam merupakan negara yang paling bercita-cita tinggi, sepertimana yang dicerminkan melalui pendekatann proaktifnya di arena diplomasi dan hasratnya untuk mencatatkan kehadiran dalam pelbagai fasa industri semikonduktor.
Sebagai rakan semikonduktor yang paling sesuai untuk Chip 4 Alliance (disebabkan kos perniagaan lebih rendah, tenaga kerja yang produktif dan dinamik), kedekatan Vietnam dengan China serta kedudukannya yang jelas sebagai ‘pihak ketiga’ dalam persaingan AS-China berjaya membentuk kerjasama strategik dengan AS, Jepun, Taiwan, dan Korea Selatan.
Antara kerjasama ini termasuk kerjasama strategik komprehensif AS-Vietnam yang mana Washington bersetuju untuk menyumbangkan AS$2 juta sebagai pembiayaan awal kepada Hanoi bagi pelaksanaaan makmal pengajaran dan kursus latihan berkaitan dengan pemasangan, ujian dan pembungkusan, 70 kursus latihan vokasional Vietnam-Taiwan di bawah New Southbound Policy Taipei (NSP) dengan ribuan pelajar Vietnam dihantar untuk menghadiri kursus berkenaan setiap tahun serta kerjasama industri berorientasikan masa depan Jepun-Vietnam yang juga merangkumi explorasi unsur nadir bumi yang diperlukan oleh industri semikonduktor. Dengan ini, Vietnam telah menjelaskan niatnya untuk merealisasikan potensinya sebagai hab semikonduktor di Asia Tenggara.
Selain daripada itu, Vietnam juga mencapai kemajuan besar dalam industri semikonduktor sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun lewat dalam menceburi industri ini, Hanoi berjaya menghasilkan cip litar terpadu pengurusan tenaga pertamanya (atau cip tenaga) dengan bantuan Korea Selatan dan Taiwan pada 2022. Sementara pada Disember 2023, pengeluar cip grafik terkemuka AS, Nvidia, berminat menubuhkan pusat reka bentuk IC di Vietnam sebagai sebahagian daripada rancangan lebih besar untuk menubuhkan pangkalan semikonduktor di negara tersebut.
Sekiranya rancangan ini berjaya dilaksanakan, peranan Vietnam akan diangkat sebagai salah sebuah ‘aktor’ yang menguasai upstream rantaian bekalan semikonduktor global.
MALAYSIA
Berbeza dengan Vietnam, Malaysia pula bergantung kepada dasar-dasar kebangsaan negara untuk mengambil kesempatan daripada pengorganisasian semula (atau sekuritisasi) rantaian bekalan dalam industri semikonduktor.
Sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia pada tahun lalu dengan pemain semikonduktor tempatan dan antarabangsa seperti Inari, Unisem, Carsem, Intel, Lam Research, Infineon, ASE, dan yang terbaru, AS&T, Malaysia kembali kepada asas untuk mencipta ekosistem yang kondusif untuk pelabur asing.
Selain daripada reformasi rejim kawal selia pelaburan supaya menjadi sebuah institusi yang lebih ringkas dan telus bagi pelabur asing, kerajaan juga sedang menambah baik dasar pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Ia penting dalam melatih bakat teknikal dan vokasional mencukupi yang diperlukan oleh pemain semikonduktor asing dan mencegah aliran keluar bakat ke negara jiran seperti Singapura.
Kerajaan tidak hanya memberi fokus kepada pengukuhan dalam fasa pemasangan, ujian dan pembungkusan- satu reputasi yang menjadikan Malaysia cukup dikenali di persada dunia. Tetapi apa yang lebih penting lagi, Malaysia berharap dapat menarik minat syarikat asing yang menduduki upstream dan mid-stream untuk menubuhkan syarikat dan kilang di negara ini terutamanya pemain semikonduktor yang terlibat dalam proses reka bentuk IC dan fabrikasi (pengeluaran) cip.
Sementara Singapura adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menduduki bahagian tertinggi dalam rantaian bekalan semikonduktor. Menjadi tuan rumah kepada pengeluar cip semikonduktor seperti United Microelectronics (Taiwan) dan GlobalFoundries (AS), Singapura menjadi pengeluar cip nod matang (cip warisan) dengan 28-nm dan ke atas. Namun, dengan hasrat United Microelectronics untuk menghasilkan cip 22-nm di negara tersebut, Singapura kini berada di kedudukan yang baik untuk meloncat lebih jauh dalam fasa fabrikasi (pengeluaran) industri semikonduktor.
Pada Mac 2023, kerajaan Singapura menawarkan subsidi yang besar kepada TSMC dalam bentuk tanah percuma, bekalan elektrik dan air, pengecualian cukai dan jaminan tenaga kerja yang mencukupi untuk menghasilkan cip 7-nm hingga 28-nm di negara itu. Seperti Vietnam, Singapura juga mempunyai aspirasi untuk menjadi hab semikonduktor di rantau Asia Tenggara.
Dengan wujudnya perlumbaan sengit untuk menarik pelaburan semikonduktor asing dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, cabaran bagi Malaysia untuk muncul sebagai pesaing yang kompeten sudah tentunya lebih mencabar berbanding sebelum ini. Walaupun Malaysia menandatangani memorandum persefahaman dengan AS untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan semikonduktor dan menjadi ahli Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang dipimpin Washington, namun masih terdapat ruang yang besar bagi Putrajaya bekerjasama dengan kuasa-kuasa semikonduktor lain bagi memperoleh sokongan teknikal, pendidikan, kewangan dan juga pelaburan asing ke dalam negara.
Dalam erti kata lain, Malaysia perlu mengoptimakan peluang daripada pengorganisasian semula rantaian bekalan semikonduktor demi kepentingan nasional negara.
Tidak dapat dinafikan usaha meningkatkan daya saing untuk pelaburan semikonduktor asing adalah penting. Namun, hakikat rantaian bekalan semikonduktor menjadi satu bentuk keselamatan ekonomi baharu menjadikan seluruh urusan pembinaan daya tahan rantaian bekalan diwarnai unsur politik.
Maka, sudah tiba masanya bagi Malaysia berdepan realiti dan bergerak ke arah menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan sehaluan bagi menaiktaraf industri semikonduktor dalam rantaian bekalan global.
Ini penting sekiranya Malaysia berhasrat untuk menarik masuk syarikat reka bentuk dan fabrikasi semikonduktor asing ke dalam negara, sebagaimana yang dinyatakan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.-UTUSAN
LEE Chee Leong ialah Pensyarah Kanan di Institut Pengajian China (ICS), Universiti Malaya dan seorang pakar Taiwan.
NUR Shahadah Jamil ialah Pensyarah Kanan di Institut Pengajian China (ICS), Universiti Malaya dan seorang pakar dalam analisis keselamatan Asia Timur.
HUYNH Tam Sang ialah Pensyarah di Universiti Sains Sosial dan Kemanusiaan Ho Chi Minh City, ahli Program Pemimpin Muda Forum Pasifik dan Penyelidik di Yayasan Taiwan NextGen.











