PEKAN: Pengguna jambatan Bailey di Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat (FT012), di sini diminta mematuhi arahan had laju bawah 30 kilometer sejam (km/j) dan tidak membawa kenderaan yang melebihi had muatan 20 tan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, ia bagi memastikan keadaan jambatan tersebut sentiasa dapat berfungsi dengan baik sehingga jambatan kekal siap dibina.
“Minta kerjasama semua pihak bagi memastikan keadaan jambatan Bailey dapat berfungsi dengan baik dan seterusnya memastikan keselamatan kepada seluruh pengguna. Kita tidak ingin ia melibatkan kemalangan jika had muatan gagal dipatuhi sebaiknya.
“Kerjasama semua pihak ini amatlah diperlukan bagi memastikan perkhidmatan itu dapat diberikan dengan baik kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di jambatan Bailey berkenaan di sini hari ini.
Mohammad Fakhruddin berkata, bagi pengguna yang membawa kenderaan melebihi muatan 20 tan, mereka dinasihat menggunakan laluan alternatif yang disarankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang.
“Pengguna yang datang dari arah Kuantan ke Muadzam Shah dinasihatkan menggunakan laluan alternatif Laluan Persekutuan FT03 (Kuantan-Endau melalui bandar Pekan) dan Laluan FT63 (Leban Condong-Muadzam Shah).
“Mereka dari arah Gambang ke Muadzam Shah pula perlu melalui laluan FT82 (Pekan Batu Balek) ke laluan Persekutuan FT03 (Kuantan-Endau). Begitu juga mereka dari arah Muadzam Shah ke Kuantan,” ujarnya.
Beliau turut meminta agar pengguna mematuhi arahan dan pemakluman JKR negeri selain merujuk portal rasmi jabatan itu di media sosial.
“Bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya ini, pihak JKR Pahang sentiasa akan melaksanakan pemantauan dan penyelenggaraan ke atas jambatan Bailey ini daripada semasa ke semasa sehingga kerja-kerja pembinaan jambatan baharu siap kelak.
“Buat masa ini kerajaan negeri sudah meminta kerjasama semua pihak terutama dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan penguatkuasaan daripada masa ke semasa bagi memastikan setiap daripada kenderaan ini mematuhi had muatan yang telah ditetapkan. Pemantauan ini akan dilaksanakan dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau dalam pada itu memberitahu, JKR negeri sudah membuat permohonan peruntukan bagi membina jambatan kekal menggantikan laluan yang rosak.
“Perkara ini sudah dibawa ke peringkat Kementerian Ekonomi dan juga Kementerian Kerja Raya selain turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Insya-Allah peruntukan terbabit akan diberi perhatian kerana ini adalah suatu kerja di luar jangka dan kecemasan serta perlu disegerakan bagi memberikan keselesaan lebih baik kepada pengguna,” ujarnya. – UTUSAN










