Siasatan kematian Mohd. Hafiz menjurus kepada kes bunuh

Siasatan kematian Mohd. Hafiz menjurus kepada kes bunuh

FISOL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus terhadap kes kematian seorang lelaki yang merupakan suspek tangkapan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Langkawi, pada 1 Februari lalu. 

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, siasatan berhubung kes tersebut yang kini diambil alih oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tambahnya, pihak polis juga tidak akan berselindung di sebalik siasatan kes berkenaan yang kini menjurus kepada Seksyen 302 dan 304 Kanun Keseksaan.

“Pada hari pertama kematian kita klasifikasi dia sebagai kematian mengejut (SDR). Namun setelah kita dapat maklumat bedah siasat dan saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah ia berpunca daripada ‘blunt force trauma to the head’.

“Jadi, pada hari yang sama, saya minta kes ini dibuka (siasat) bukan lagi di bawah SDR selain mengarahkan IPK Kedah ambil alih kes ini supaya tidak berlaku berat sebelah. Kita akan membuat pengumuman secepat mungkin.

“Sekarang ini kita perlukan laporan lengkap daripada hospital, siasatan akan menjurus kepada Seksyen 302 dan 304 Kanun Keseksaan. Kita pergi ke arah itu sebab mangsa sudah meninggal,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah, di sini hari ini.

Menjelaskan lanjut katanya, setakat ini pihaknya sudah mengambil keterangan daripada enam pegawai dan anggota terlibat termasuk tujuh orang awam yang merupakan saksi kejadian.

“Selain itu polis juga sudah memaklumkan kepada keluarga lelaki itu berkaitan perkembangan siasatan dan memang sebagai ketua polis negeri saya bersimpati dengan apa yang berlaku,” katanya.

Berhubung kejadian itu kata Fisol, mangsa yang berusia 31 tahun ditangkap oleh sepasukan polis dari IPD Langkawi pada 29 Januari melalui Op Tapis Khas sebelum berlaku pergelutan. 

“Semasa tangkapan dibuat berlaku pergelutan dan dia mengalami luka di bahagian kening sebelah kanan, leher sebelah kiri, telinga kanan dan tangan kanan serta lutut bahagian kanan manakala pegawai tangkapan dan tiga anggota turut mengalami kecederaan kecil di beberapa bahagian badan. 

“Hasil pemeriksaan menemukan satu keratan straw berisi ketulan atau serbuk disyaki Heroin dan ujian urin juga dia positif Morfin. Pada pukul 8 malam, polis membawa suspek ke Klinik Kesihatan Kuah untuk rawatan atas kecederaan yang dialami dan semasa di klinik suspek telah rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Tambahnya, suspek kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha sebelum dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.40, 1 Februari lalu.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang lelaki, Mohd. Hafiz Salleh, 31, meninggal dunia pada Khamis lalu ketika menerima rawatan selepas didakwa diserang anggota polis yang melakukan operasi berkaitan dadah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×