PETALING JAYA: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, namun pada masa sama, pihaknya mendukung segala langkah yang bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dewan Tertinggi BN menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Pada masa sama, Dewan Tertinggi mendukung segala langkah yang bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN berlangsung semalam.
Sebelum ini, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan hukuman ke atas Najib yang juga bekas Pengerusi PN dengan diberikan pengurangan bagi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Ekoran keputusan itu denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, manakala tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028.
Sementara itu, Zambry berkata, BN dengan takzimnya merafak sembah tahniah kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
“Semoga pemerintahan ke bawah Duli Tuanku akan membawa Malaysia ke arah lebih makmur dan sejahtera.
“BN turut menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan, BN bersetuju melantik Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat masing-masing sebagai Pengerusi Jawatankuasa BN negeri.
Selain itu, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju berhubung pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian-bahagian berdasarkan fasal 24(A).
“Sempena ulang tahun Jubli Emas BN yang ke-50, Dewan Tertinggi bersetuju sebuah Jawatankuasa Khas dibentuk menyelaras semua program-program Sempena Ulangtahun Ke-50 Barisan Nasional yang bakal disambut pada bulan Jun 2024,” katanya. – UTUSAN










