PETALING JAYA: Jodoh jurulatih memanah negara, Wan Khalmizam Wan Abdul Aziz dengan skuad kebangsaan tidak berpanjangan apabila dia memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya yang berakhir Disember lalu.
Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abd Hamid Hassan kepada Utusan Malaysia semalam.
Justeru kekosongan yang ditinggalkan Khalmizan akan dibincangkan oleh NAAM memandangkan dia menjadi antara jurulatih yang membantu Ariana Nur Dania yang mencipta kejutan layak ke Sukan Olimpik Paris Julai ini.
“Kontraknya telah tamat, jadi dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmatnya di kem kebangsaan.
“Kami akan membuat perbincangan semula bersama Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai siapa yang menguruskan Ariana ke Sukan Olimpik Paris,” kata Hamid.
Khalmizam kembali bertugas sebagai jurulatih di MSN pada 2020 telah menjadi antara tulang belakang melatih bakat-bakat muda dalam skuad pelapis kebangsaan.
Ketiadaan Khalmizam menyaksikan skuad pelapis kebangsaan kini diuruskan Muhammad Izzudin Abd Rahim dan Arif Farhan Ibrahim Putra, manakala untuk skuad Podium dilatih Muhammad Marbawi Sulaiman dan Norizam Ishak.
Difahamkan Khalmizam, yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008 telah ditawarkan kontrak untuk mengemudi skuad memanah negeri Selangor bagi persediaan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini. – UTUSAN










