PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih boleh terus berlumba walaupun situasi kesihatan terkininya mengundang pemerhatian pihak perubatan.
Kelmarin, Azizul terpaksa menarik diri daripada meneruskan saingan perebutan gangsa dalam acara pecut Kejohanan Piala Negara-Negara UCI bagi mengelak tekanan kepada jantungnya selepas menghadirkan pingat emas negara dalam acara keirin sebelum itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli mengesahkan status kesihatan Azizul dalam keadaan baik dan boleh berlumba pada masa akan datang.
Katanya, pelumba itu kini dalam pemantauan penuh oleh pakar perubatan dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius.
“Kesihatan Azizul adalah keutamaan kepada kami (ISN) yang mana dia perlu terus mengambil ubatnya supaya tiada masalah yang serius pada masa hadapan.
“Keadaan Azizul masih di tahap pemantauan dan segala keputusan akan dirunding bersama ISN dan pakar perubatan di sana,” katanya.
Azizul yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman sebelum ini dibelenggu masalah jantung dan kini mengambil ubat perikarditis bagi memastikan penyakitnya tidak menganggu latihan dan perlumbaannya.
Sebelum ini, Azizul meraih pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara (UCI) di Adelaide, Australia pada 3 Februari lalu.
Aksi mendebarkan itu menyaksikan beliau berjaya mengetepikan lima pencabar yang lain sekali gus menjadi yang pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 9.910 saat (s).
Walau bagaimanapun, aksi cemerlang Azizul tidak berterusan susulan beliau membuat keputusan menarik diri daripada penentuan pingat gangsa bagi acara pecut.
Mengulas lanjut, Faedzal akui dia seorang atlet yang luar biasa walaupun tahap kesihatan yang dibelenggu olehnya tidak mematahkan semangatnya pada Sukan Olimpik Paris pada Julai ini.
“Walaupun isu kesihatannya kelihatan baik dan tidak ada yang serius setakat ini, kami optimis yang Azizul boleh meneruskan saingannya Julai nanti,” katanya. – UTUSAN










