SEREMBAN: Bukan mudah untuk menguruskan anak kurang upaya (OKU) khususnya yang menghidap penyakit cerebral palsy atau kelumpuhan otak.
Itulah yang dihadapi seorang ibu, Nurizrin Ishak, 37, yang tidak pernah lelah menjaga anaknya, Mohammad Fitri Baharudin, 15, yang terlantar serta tidak mampu bergerak bebas seperti remaja lain seusianya.
Nurizrin berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, dia akan pastikan segala penjagaan anaknya itu diberi perhatian sepenuhnya.
Dia berkata, Mohammad Fitri yang merupakan anak kedua daripada perkahwinan terdahulunya dilahirkan normal, namun diserang sawan akibat demam panas pada usia mencecah dua tahun setengah.
“Anak saya ini kemudiannya mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahrudan pernah mengalami koma selama seminggu. Walaupun hiba melihat keadaan Muhammad Fitri, saya harus kuat untuk menempuh ujian ini.
“Saya selalu memberitahu suami, Che Ahmad Faris Che Ab Rahman, 27, tentang kebimbangan saya sekiranya saya tiada lagi nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Flat Taman Semarak, Nilai, di sini.
Nurizrin berkata lagi, bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga, dia membantu suaminya berniaga air soya, namun pendapatan diperoleh tidak menentu.
“Untuk keperluan Mohammad Fitri sahaja memerlukan hampir RM500 sebulan termasuk lampin pakai buang dan susu.
“Sepatutnya dia perlu minum susu formula khas, namun kerana kami tidak mampu terpaksa lah ada ketikanya kami mencampurkan dengan susu biasa. Dia hanya bergantung kepada susu yang diberikan sebanyak lima kali sehari selain diberi makan bijirin dan makanan lembut menerusi saluran tiub.
“Anak saya ini memperoleh bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan, namun ia tidak mencukupi,” katanya yang memberitahu mempunyai dua orang lagi anak yang masih bersekolah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0114929000157135 atas nama Nurizrin Ishak atau boleh menghubunginya di menerusi nombor telefon, 011-25861931. – UTUSAN










