JERANTUT: Para penduduk mengerahkan ‘tulang empat kerat’ bergotong-royong bagi membaik pulih jalan rosak hanya menggunakan cangkul di Kampung Bukit Mat Daling, Ulu Tembeling di sini.
Aktiviti itu dilakukan pada cuti hujung minggu bersama guru-guru bagi meratakan permukaan jalan tanah yang berlubang dan berlumpur melibatkan laluan di empat buah bukit sejauh empat kilometer di Kampung Bukit Cincin dan Kampung Semena.
Keadaan lebih teruk itu menyukarkan laluan murid ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mat Daling dan penduduk keluar ke jalan utama dari kampung tersebut ke bandar Jerantut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Mat Daling, Wan Shamsuddin Wan Yasin berkata, keadaan jalan rosak kira-kira empat kilometer di situ kerap kali berlaku setiap kali selepas hujan lebat.
“Sejak dahulu lagi, beginilah kesusahan penduduk di sini berdepan kesukaran untuk membawa hasil kampung termasuk berbelanja ke bandar dan murid ke sekolah.
“Keadaan ini menyebabkan penduduk di sini keluar beramai-ramai bergotong-royong membaik pulih laluan ini setiap kali selepas hujan,” katanya di sini semalam.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Azhari Khan Ahmad berkata, dia teruja melihat penduduk dan guru di situ bekerjasama membaik pulih kerosakan jalan demi kemudahan mereka.
“Sudah tiga kali saya berkunjung ke Ulu Tembeling untuk bersiar-siar dan memancing di Sungai Tembeling berdekatan kampung ini, tetapi keadaan jalan tetap sama.
“Saya bersimpati dengan ibu bapa menghantar anak ke sekolah berdepan masalah laluan di sini termasuk murid yang berjalan kaki terus gigih menuntut ilmu walaupun serba kekurangan kemudahan. Harap pihak kerajaan segera membaik pulih kerosakan ini,” katanya.
Seorang guru yang enggan namanya disiarkan menjelaskan gotong-royong ini bertujuan memberikan keselesaan kepada ibu bapa menghantar anak serta murid yang berjalan kaki berulang alik ke sekolah.
“Para guru terpanggil atas rasa bertanggungjawab bersama dan cakna demi keselesaan murid-murid di sini termasuk penduduk yang berulang alik ke tempat kerja dan membawa hasil kampung menggunakan jalan ini,” katanya. – UTUSAN










