Ada orang dalam jadi dalang pecah belah Bersatu

Ada orang dalam jadi dalang pecah belah Bersatu

CHANG Fat Full (kiri) bersama Setiausaha Bersatu Terengganu, Khazan Che Mat menyampaikan limau mandarin kepada masyarakat Tionghoa sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Chang Fat Full percaya terdapat dalang yang ingin melihat pucuk pemimpin parti itu berpecah belah sehingga wujud dua kem. 

Beliau berkata, dalang tersebut dipercayai orang dalam sendiri yang turut bekerjasama dengan parti lawan yang berusaha untuk melemahkan kekuatan Bersatu yang dilihat semakin mendapat sokongan rakyat.

Menurutnya, tindakan dalang tersebut juga dipercayai telah menggagalkan usaha Bersatu dan Pas untuk menumbangkan kerajaan Pusat sebelum ini.

“Dalang itu sengaja memainkan isu-isu tertentu untuk mencetuskan perpecahan dalam kalangan pemimpin Bersatu sehingga wujud kem tertentu dalam parti,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pejabat Bersatu Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Bersatu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’ selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pusingan U ketika mengumumkan akan mempertahankan jawatannya.

Fat Full berkata, masalah tersebut perlu ditangani dengan bijak oleh pemimpin Bersatu bagi  memastikan parti tidak tergugat dengan tohmahan yang dilemparkan parti lawan.

Katanya, pemimpin Bersatu perlu mengadakan lebih banyak perjumpaan dan perbincangan di peringkat pucuk parti dalam menyelesaikan sesuatu masalah daripada berlarutan.

“Dalam perbincangan tersebut pemimpin terlibat dapat memberi penjelasan terhadap isu  berbangkit untuk mengelak salah faham dan kekeliruan, seterusnya merapatkan semula hubungan silaturahim dalam kalangan mereka,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN