LANGKAWI: “Jahat macam mana sekalipun dia, negara kita ada undang-undang. Apabila kami tengok sendiri video tersebut, kami rasa amat kecewa.”
Demikian luahan ahli keluarga Allahyarham Mohd. Hafiz Salleh, 31, yang meninggal dunia kerana didakwa dicederakan sekumpulan anggota polis yang melakukan tangkapan terhadapnya, minggu lalu.
Mereka juga hanya mengetahui kejadian menimpa Mohd. Hafiz setelah dihubungi Hospital Sultanah Maliha di sini yang meminta tandatangan waris untuk membenarkan pembedahan dilakukan kepada mangsa.
Kakak mangsa, Sarimah Salleh, 35, berkata, mereka boleh menerima ketentuan sekiranya Mohd. Hafiz dijatuhkan hukuman atas kesalahan dilakukan.
“Namun, apa yang berlaku amat menyedihkan kami sekeluarga kerana adik saya meninggal dunia akibat pendarahan teruk, apatah lagi kejadian itu dirakam dan videonya kini tular.
“Kami cuba tanya doktor, macam mana adik boleh berada di hospital tetapi doktor kata perlu menyelamatkan dia terlebih dahulu dan hanya memaklumkan ada pendarahan teruk di otak sehingga dia koma,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang lelaki meninggal dunia pada Khamis lalu ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas dia didakwa diserang anggota polis yang melakukan operasi berkaitan narkotik.
Kejadian terbabit dipercayai berlaku pada 29 Januari lalu di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat, di sini.
Sementara itu, adik mangsa, Salwana, 26, berkata, dia berjumpa dengan seorang pegawai polis yang mengendalikan kes abangnya, namun tidak mendapat sebarang penjelasan selain dimaklumkan mereka belum memulakan apa-apa siasatan ke atas Mohd. Hafiz.
Katanya, dia turut ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan berjumpa dengan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN).
“Anggota tersebut beritahu mereka ada buat serbuan di seluruh negara dan abang saya bertindak agresif semasa tangkapan dibuat. Tetapi semasa di bilik siasatan, abang dikatakan tiba-tiba muntah dan pengsan sebelum dikejarkan ke hospital.
“Keadaan abang semasa kami jumpa dia penuh dengan kesan lebam di mata dan badan. Bahagian atas kening juga terkoyak,” ujarnya.
Menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada polis yang memaklumkan kes itu telah diambil alih oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
“Saya meminta pihak tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan terhadap apa yang berlaku kerana polis juga tertakluk kepada undang-undang dan ada keadilan terhadap abang kerana dia bukan kacau orang pun,” katanya. – UTUSAN











