Projek ETS Gemas-JB beri impak pembangunan Gemas - Utusan Malaysia

Projek ETS Gemas-JB beri impak pembangunan Gemas

AMINUDDIN Harun bergambar bersama penjawat awam pada Majlis Perhimpunan Jabatan Daerah Tampin, di Dewan Perdana Tampin hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru yang dijangka mula beroperasi pada tahun hadapan akan memberi manfaat kemudahan pengangkutan awam kepada penduduk daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin malahan berkata, projek itu juga secara tidak langsung memberi impak positif terhadap pembangunan di kawasan Gemas.

“Penduduk di daerah Tampin akan menerima manfaat kemudahan pengangkutan awam yang membolehkan mereka pergi ke utara atau selatan tanah air dengan lebih cepat. Bukan itu sahaja, kesan ekonomi juga akan dapat dirasakan oleh penduduk di daerah ini nanti,” katanya pada Majlis Perhimpunan Jabatan Daerah Tampin, di Dewan Perdana Tampin, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar pembangunan di daerah Tampin selari dengan ‘jenama’ yang telah diiktiraf oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada tahun 2021 terhadap Tampin iaitu sebagai daerah paling bahagia.

“Oleh kerana Tampin dilihat sebagai daerah untuk penempatan komuniti yang di dominasi kawasan pinggir dan luar bandar maka keutamaannya mestilah bersifat kemudahan dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin turut mengingatkan kesemua ketua jabatan agar memastikan jabatan mereka sentiasa berintegriti serta bersih daripada amalan rasuah.

“Ketua jabatan di peringkat daerah perlu tegas. Sebenarnya ketua jabatan boleh diambil tindakan walaupun yang melakukan kerja ini (rasuah) di peringkat bawahan, perlu dalam radar ketua-ketua jabatan apa yang dilakukan oleh anak-anak buah mereka,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×