PETALING JAYA: Pemain import Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jang Jong Hyun membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak hatrik untuk membenam pasukan adik, TNB Thunderbolts dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Jong Hyun gagal beraksi dengan baik dalam perlawanan pembukaan menentang Maybank Jumaat, namun pemain Korea Selatan itu menampilkan aksi berbeza pada perlawanan hari ini.
Dia mula meledak seawal minit ke 11 menerusi pukulan sudut penalti.

TNB semakin selesa apabila rakan sepasukan, Syed Syafiq Syed Cholan menggandakan jaringan pada penghujung suku kedua, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Tidak ketinggalan, Firhan Ashaari turut melakar nama sebagai penjaring dalam perlawanan ini apabila meledak pada suku ketiga permainan.
Barisan anak buah Nor Saiful Zaini terus bernafsu di suku keempat, dan hasilnya mereka menambah tiga lagi gol.
Nik Aiman Rozemi berjaya menambah derita TNB Thunderbolts pada minit ke 47, sebelum Jong Hyun meledak dua lagi jaringan dalam tempoh lima minit untuk menjadikan kedudukan 6-0.
Kemenangan ini meletakkan TNB berada di puncak liga dengan empat mata selepas dua perlawanan.










