PETALING JAYA: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) meminta Kesatuan Ragbi Sabah (SRU) untuk tidak membuat tindakan melulu dengan bertindak untuk tidak mengiktiraf keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk yang diadakan pada 2 Disember lepas.
SRU membuat keputusan berkenaan sebagai tanda protes ke atas KRM yang didakwa berdiam diri tentang dakwaan isu penyelewengan RM2 juta yang berlaku pada 2022.
Malah SRU juga mahu memboikot daripada menyertai sebarang kejohanan anjuran KRM seperti Piala Agong dan Kejohanan Tujuh Sebelah (7’s) Kebangsaan bagi menuntut pentadbiran yang lebih telus.
Setiausaha Agung KRM, Fahmy Jalil menjelaskan, pihaknya terbuka untuk duduk berbincang dengan SRU bagi menyelesaikan kemelut ini dengan pendekatan lebih harmoni.
“Buat masa sekarang, kami masih belum menerima sebarang surat daripada pihak SRU yang mengatakan mereka mahu keluar daripada KRM. Apa-apa pun kami masih terbuka untuk mendengar keluhan mereka, kerana bagi kami, ia akan menjadi satu kerugian jika kami kehilangan salah satu ahli kami dalam KRM.
“Mesyuarat Agung yang kami jalankan Disember lalu pula telah dimaklumkan kepada pihak Pesuruhjaya Sukan dan kami mendapat kebenaran untuk menjalankannya.
“Malahan Pesuruhjaya Sukan, saudara Suhardi Alias juga turut hadir bersama pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) ke mesyuarat berkenaan sebagai pihak pemerhati, jadi kenapa pula ada dakwaan mesyuarat berkenaan melanggar perlembagaan dan tidak diiktiraf?
“Jika mahu KBS campur tangan, sememangnya isu ini dalam pengetahuan YB Hannah Yeoh. Semasa isu ini dilaporkan di media massa, ketika itu YB baru sahaja beberapa hari menyandang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan, dan beliau terus menghubungi pihak KRM sejurus selepas mengetahui tentang perkara untuk mendapat gambaran sebenar.
“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis, jadi apabila kes sudah pun diselesaikan nanti, pihak kami bersedia untuk berkongsi segala perkara yang berlaku. Tetapi ketika ini, kami masih belum boleh mendedahkan sebarang perkara kerana tidak boleh menggangu siasatan pihak berkuasa,” jelas Fahmy yang ditemui media semalam.
Terdahulu, Presiden SRU, Velayuthan Tan dan Setiausaha Agungnya, L. Ramesh mendakwa telah mengirimkan tiga pucuk surat sejak Jun tahun lalu meminta penjelasan daripada KRM mengenai isu ini, serta sepucuk surat kepada PJS, namun kesemuanya tidak dibalas. – UTUSAN










