TAPAH: Seorang tahanan lelaki etnik Rohingya yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor yang ditemui di Kampung Bermin malam kelmarin memberitahu lapar kerana tiga hari tidak makan dan minum.
Menurut Ketua Kampung Bermin, Kamarulzaman Mohamad, 64, ketika ditemui tahanan itu tidak agresif dan mengangkat tangan seolah-olah menyerah diri.
“Dia hanya berkata saya minta maaf kerana bersalah melarikan diri dari depot.
`Dia turut mengadu kelaparan kerana tidak makan dan minum selama tiga hari selain hanya meminum air sungai bagi meneruskan kehidupan.
“Kami rasa kasihan dan mengambil semangkuk bihun goreng , sebotol air mineral bersaiz kecil selain segelas kopi untuknya,” ceritanya.
Kata Kamarulzaman, warga asing itu makan dan minum dengan cepat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang merangkumi Kampung Jambai, Rebai, Bermin dan Sungai Gading mempunyai kira-kira 500 orang penduduk.
TAHANAN
Kamarulzaman memaklumkan, ketika ditemui pada pukul 7.30 malam tahanan itu hanya memakai baju T berwarna biru, berseluar pendek warna hijau, berkaki ayam dan dalam keadaan lemah.
Katanya, pada mulanya beliau mendapat aduan penduduk kampung akan kehadiran kelibat seorang warga asing yang mengetuk pintu rumah salah seorang penduduk bagi meminta minuman.
“Sudah tentu penduduk kampung tidak berani untuk membukanya. Selepas itu, anggota polis dan penduduk kampung menggerakkan operasi bagi memburunya.
“Kami berpecah kepada dua kumpulan dengan kekuatan dua puluh orang termasuk polis dengan menggunakan motosikal dan kereta peronda polis.
“Mujur kami berjaya mengesannya tidak lama selepas itu.,” katanya.
Katanya, lelaki mendakwa dia melarikan diri dari depot itu bersama dengan seorang lagi rakan namun berpisah beberapa hari kemudian.
Pada 2 Februari lalu, seramai 131 tahanan Rohingya dan pendatang Myanmar lolos dari Depot Imigresen Bidor sehingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang kurang senang dengan kejadian itu.- UTUSAN










