KUANTAN: Hanya bermula dengan belajar menerusi laman YouTube, seorang pembuat kostum adiwira di daerah ini tidak menyangka bidang tersebut kini menjadi sumber pendapatan sampingan buatnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd. Rostam Hassan, 44, berkata, dia mula menerima tempahan set lengkap kostum adiwira yang dijual pada harga antara RM2,000 hingga RM3,000 sejak 2018.
Menurutnya, segala-galanya bermula tujuh tahun lalu selepas dia tidak berpuas hati dengan kualiti kostum adiwira yang dibeli secara dalam talian untuk sambutan hari lahir anak keempatnya, Daniel Hafidh, 10, yang pada ketika itu berusia tiga tahun.
“Anak saya sangat minat adiwira Kamen Rider ketika itu jadi saya mahu memberikan kostum adiwira untuk sambutan hari lahirnya tetapi selepas menerimanya, saya mendapati kondisinya sangat teruk.
“Bermula dari situ, saya cuba mendapatkan maklumat tentang cara menghasilkan kostum di internet dan bila dapat sahaja maklumat itu, saya cuba menghasilkan satu kostum adiwira lengkap lebih baik daripada yang dibeli,” katanya di sini semalam.
Mohd. Rostam berkata, dia memilih bersara awal daripada TUDM pada 2016 dan menceburi bidang perniagaan dengan membuka kedai mencetak baju di samping membuat kostum adiwara sebagai sampingan berdasarkan tempahan.
kostum Judge Dredd, Batman dan Stormtroopers antara yang pertama dihasilkannya sebelum menumpukan pembuatan kostum Iron Man yang diminatinya.
“Saya sudah menghasilkan beberapa siri kostum Iron Man. Saya minat untuk membuat kostum Iron Man kerana meminati karakter Tony Stark yang pada saya begitu memberi inspirasi kepada saya,” katanya.
Pernah berkhidmat sebagai jurutera di TUDM, beliau memberitahu, pembuatan kostum memerlukan minat mendalam kerana kemahiran terbabit begitu berbeza dengan pengalaman kerjanya sebelum ini.
“Saya mula dengan buat helmet (topi) dahulu kerana itu adalah komponen yang paling sukar. Kalau kita boleh buat kepala (topi) itu cantik, insya-Allah yang lain pun akan menjadi cantiklah,” katanya.
Menurutnya lagi, kostum adiwira dihasilkannya dibuat menggunakan kepingan eva foam dan juga tiga dimensi (3D) yang mana prosesnya dilakukan secara berulang kali sehingga dia berpuas hati.
Mohd. Rostam juga memberitahu, pada awalnya dia hanya menjadikan pembuatan kostum sebagai hobi dan memuat naik hasil reka ciptanya di laman sosial Facebook pada 2018.
“Bermula dari situ, banyak jemputan diterima bagi majlis sambutan hari jadi dan program sekolah sekitar daerah ini. Setakat ini, saya sudah menerima tempahan 20 kostum daripada pelanggan. Saya mengambil masa sekurang-kurangnya dua ke tiga bulan untuk menyiapkan satu kostum,” katanya.
Selain itu, Mohd. Rostam juga menawarkan perkhidmatan sewaan kostum di kedainya, Costume Cosplay Rental Kuantan di Taman Guru di sini yang diusahakan bersama isterinya, Norul huda Md. Daud, 41.
Beliau kini memiliki kira-kira 300 kostum merangkumi watak adiwira filem, komik, manga dan juga cosplay yang disewa dengan harga bermula RM30 hingga RM200.
Menurutnya, antara kostum yang sering menjadi pilihan kanak-kanak adalah watak Red Riding Hood, Harry Potter dan juga kartun Disney manakala kostum Maleficent, Darth Vader serta Naruto menjadi pilihan pelanggan dewasa. – UTUSAN











