KBS utamakan naik taraf fasiliti sedia ada

KBS utamakan naik taraf fasiliti sedia ada

HANNAH Yeoh menendang bola sebagai gimik perasmian pada Majlis Penyerahan Padang Bola Sepak Sintetik di Kampung Kumpulan, Ulu Melaka di Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya akan memberi keutamaan untuk menaik taraf fasiliti sukan sedia ada berbanding pembinaan baharu ketika ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kementerian akan mengkaji terlebih dahulu keperluan untuk membina fasiliti baharu bagi mengelakkan pembaziran.

Katanya, pembinaan fasiliti-fasiliti sukan sememangnya memberi manfaat besar dan dilihat selari dengan teras dalam Visi Sukan Negara 2030.

Memuatkan artikel berkaitan…

“KBS kini mengutamakan projek menaik taraf fasiliti sedia ada, kalau (perlu) bina baharu kita akan kaji keperluan di tempat terbabit bagi memastikan tiada pembaziran kerana kos menyelenggara fasiliti seperti ini tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Bola Sepak Sintetik di Kampung Kumpulan, Ulu Melaka di sini, hari ini.

Sementara itu, padang rumput tiruan bernilai RM3.5 juta itu mula dibina pada 2020 menggunakan dana KBS dan siap sepenuhnya pada 2 Januari lalu.

Hannah berkata, padang tersebut diyakini mampu meningkatkan lagi budaya sukan dalam kalangan penduduk tempatan selain dapat menjadi medan mencungkil bakat baharu di Langkawi untuk diketengahkan sebagai pemain bola sepak daerah, negeri dan kebangsaan.

“Ini adalah fasiliti bertaraf moden kedua yang siap dibangunkan KBS di Kedah selepas pembangunan Pusat Skuasy Kedah di Alor Setar bernilai RM10.8 juta yang diserahkan kepada kerajaan negeri pada Disember lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hannah mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membina skrin besar bagi memudahkan peminat sukan melihat acara sukan secara langsung.

Katanya, KBS telah bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa badan korporat lain bagi menayangkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa.

“Kita lihat sambutan rakyat kepada penganjuran skrin besar ini sangat baik apabila orang ramai memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan aksi skuad negara pada Piala Asia yang berlangsung di Doha, Qatar baru-baru ini.

“Jadi kalau PBT boleh menyediakan fasiliti ini, KBS akan membayar hak penyiaran untuk menayangkan acara sukan secara langsung,” katanya

Ujarnya, langkah itu membolehkan KBS tidak perlu lagi menyewa skrin besar yang menelam kos tinggi setiap kali penganjuran tayangan secara langsung.

“Walaupun ada acara sukan yang turut ditayangkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau syarikat swasta, namun kebanyakan penyokong sukan gemar menonton acara secara langsung dengan rakan atau keluarga di luar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini