Reka bentuk kontemporari, mesra alam jadi pilihan

Reka bentuk kontemporari, mesra alam jadi pilihan

Reka bentuk rumah kontemporari menjadi pilihan pembeli.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2024 dilihat era baharu dalam industri hartanah negara yang kembali bangkit daripada kelembapan disebabkan krisis akibat penularan Covid-19.

Perkembangan itu menyaksikan permintaan terhadap hartanah terus meningkat terutama kediaman berstatus strata di kawasan-kawasan bandar terutama di Lembah Klang.

Pembinaan hartanah kategori tersebut turut menuntut reka bentuk dan seni bina yang lebih kontemporari, pada masa sama masih mengekalkan elemen les­tari. Ia sesuai dengan tuntutan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan industri berkenaan.

Reka bentuk kontemporari adalah gaya dan tema yang terkini menggunakan palet warna neutral yang digandingkan dengan tona yang lebih cerah manakala, minimalis pula bermaksud ringkas dan sederhana.

Bagi konsep rumah tradisio­nal ialah rumah yang masih mengekalkan ciri reka bentuk masyarakat dahulu dibina daripada kayu.

Bagi Pensyarah Jabatan Senibina, Fakulti Reka bentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts. Mohd. Zairul Mohd. Noor, seni bina bangunan di Malaysia bakal mengalami transformasi besar seiring trend yang menekankan kemampanan, ketahanan dan integrasi teknologi pada bangunan.

Beliau berpandangan, terdapat perbezaan yang ketara antara perumahan kos tinggi dan perumahan kos sederhana atau mampu milik dari segi konsep reka bentuk.

“Rumah kos tinggi kebanyakan masih mengutamakan konsep mewah dengan kemudahan yang setara dengan resort seperti kolam renang, gimnasium, spa, dan ruang komuniti yang mewah.

“Manakala, perumahan kos sederhana dan mampu milik lebih menekankan penyediaan kemudahan asas. Ia termasuk taman permainan, ruang terbuka hijau, dan kemudahan komuniti berorientasikan keluarga,” jelas beliau kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mohd. Zairul menjelaskan, konsep minimalis yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli muda, pula menekankan ruangan yang bersih, sederhana, dan minimal.

Konsep itu katanya, berbeza dengan kediaman berkonsep industri yang mengambil inspirasi daripada elemen-elemen binaan dan bahan mentah seperti konkrit, besi dan kaca.

“Kedua-dua konsep ini mencerminkan kecenderungan (pembeli) masa kini yang mengutamakan estetika bersahaja, namun elegan serta fungsi yang praktikal,” jelas beliau.

Jelas Mohd Zairul lagi, cabaran kepada pemaju ketika ini adalah menyediakan rumah bagi memenuhi kehendak pembeli yang semakin bijak dalam menilai sesebuah kediaman.

“Pembeli akan memilih rumah yang lengkap dengan kemudahan dan kualiti. Oleh itu, pemaju dan arkitek harus kreatif,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar pemaju dan arkitek menjalin kerjasama dengan pakar-pakar di universiti tempatan bagi mengenal pasti model dan bentuk kediaman yang sesuai dengan kehendak semasa pasaran.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Ar. Dr. Elina Mohd. Husini berpendapat, pembeli yang bijak mementingkan kediaman mampan dan lestari.

Menurut beliau, reka bentuk kediaman kontemporari boleh memenuhi ciri-ciri tersebut kerana ia turut menggabungkan elemen alam semula jadi dengan penghuni.

“Hubungan antara reka bentuk kontemporari dan kehijauan ialah pilihan reka bentuk masa kini. Ini kerana, ia memberi keseimbangan dan memenuhi keinginan penghuni untuk persekitaran yang sejahtera,” katanya.

Elina turut menyentuh seni bina kediaman tradisional yang mementingkan ruang dalaman terbuka, namun mengekalkan privasi pemilik. Ia dapat dilihat dengan adanya anjung, pintu masuk keluar berbeza untuk ahli keluar dan tetamu serta ruang khusus untuk orang tua.

Bagaimanapun katanya, ciri-ciri binaan tersebut tidak lagi diamalkan masa kini apabila pembinaan hartanah lebih mementingkan konsep kontemporari dan moden sesuai dengan gaya hidup semasa.

“Walaupun reka bentuk kontemporari tidak dikaitkan secara langsung dengan hubungan manusia dan alam semula jadi, namun ia masih boleh disesuai dan diintegrasikan bagi mewujudkan elemen kehijauan pada kediaman,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×