YANGON: Ketenteraan Myanmar yang mengambil alih pentadbiran kerajaan ini mungkin berhadapan nasib sama seperti bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein dan pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi sekiranya pergolakan di negara ini masih berterusan.
Lapor Arab News, pemimpin tentera Myanmar dikatakan bakal mengikut jejak dua pemimpin diktator itu ketika wujudnya kebimbangan tercetusnya perang saudara di negara ini.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 180 penunjuk perasaan terbunuh dalam demonstrasi anti kudeta sejak rampasan kuasa berlaku pada 1 Februari lalu.
Wakil Khas PBB ke Myanmar, Dr. Sasa memberitahu Sky News sekiranya pertempuran berterusan tanpa sebarang tindakan daripada komuniti antarbangsa, penduduk negara ini mungkin terpaksa bertindak ‘mempertahankan diri’.
Justeru, Sasa mendesak ketua tentera yang kini menguasai Myanmar untuk mengundur diri, membebaskan penduduk yang ditahan dan mengembalikan semula demokrasi di negara ini.
Beliau memberi amaran, sekiranya gagal berbuat demikian, barisan kepemimpinan yang melakukan rampasan kuasa itu mungkin ditahan atau dibunuh sekali gus mengalami nasib yang sama seperti Saddam Hussein, Muammar Gaddafi dan pemimpin al-Qaeda, Osama Laden.
Menurut Sasa, India, China, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Eropah dan negara-negara jiran Myanmar perlu bekerjasama dengan memberi tekanan kepada ketua tentera negara ini.
“Sekiranya gabungan antarabangsa ini tidak ditubuhkan segera, saya bimbang, perang saudara terbesar yang tidak pernah disaksikan sebelum ini bakal berlaku.
“Kami tidak memerlukan kenyataan lagi. Kami hanya mahu tindakan daripada komuniti antarabangsa iaitu sekatan yang diselaraskan, bersasar dan lebih tegas baik dari sudut diplomatik, ekonomi mahupun politik,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia menggesa komuniti antarabangsa melaksanakan sekatan senjata global dan sekatan lebih tegas terhadap pemimpin yang menjadi punca disebalik rampasan kuasa
“Persoalan kami, berapa banyak mayat lagi akan bergelimpangan di tepi jalan selepas ini sebelum komuniti antarabangsa bertindak dan menyelamatkan penduduk Myanmar?,” soal Presiden Pertubuhan Rohingya Burma United Kingdom (BROUK), Tun Khin dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, etnik Rohingya pernah berdepan penindasan terbesar pada 2017 dan komuniti antarabangsa juga gagal untuk memberi maklum balas dalam membela nasib golongan minoriti tersebut.
“Kami melihat situasi ketika ini sama seperti yang dihadapi etnik Rohingya ketika itu apabila hampir setiap hari pasti ada penunjuk perasaan maut terkena tembakan yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan,” ujarnya.
Sementara itu, kumpulan sami Buddha yang paling berpengaruh di Myanmar mendesak junta tentera untuk berhenti menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi secara aman.
State Sahgha Maha Nayaka Committee (Mahana) turut menuduh ‘kumpulan minoriti bersenjata’ yang merujuk kepada pasukan keselamatan negara ini sengaja menyeksa dan membunuh orang awam yang tidak bersalah dalam beberapa siri protes. – REUTERS/AGENSI











