Minggu ini calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula ‘berperang’ di dalam dewan peperiksaan menduduki peperiksaan umum itu sebelum meneruskan kehidupan selepas alam persekolahan sama ada untuk menyambung pengajian atau terus memasuki pasaran kerja.
Ke manakah mereka selepas itu kerana sebelum ini negara dikejutkan dengan senario kira-kira 300,000 pelajar SPM tidak berminat menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi.
Perkara itu dijangka memberi kesan kepada sumber manusia khususnya terhadap usaha mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi menjelang 2030.
Lepasan SPM dikatakan lebih berminat untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig atau e-hailing, selain sektor pengilangan dan faktor lain.
Trend ini amat membimbangkan dan dijangka memberi kesan kepada sumber manusia pada masa depan. Hingga kini, kita hanya berjaya mencapai sasaran sekitar 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Kita bimbang tidak mampu menjadi sebuah negara maju pada masa akan datang dengan jumlah tenaga mahir yang tidak mencukupi.
Isu ini memerlukan penyelesaian segera kerana membabitkan hala tuju dan perkembangan serta kemajuan negara sama ada berada pada landasan yang tepat mahu pun sebaliknya.
Faktor mengapa anak muda di negara ini kurang berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat pengajian tinggi perlu dikaji secara komprehensif, selain menawarkan opsyen lebih menarik bagi ‘memujuk’ golongan itu belajar di institusi pendidikan tinggi (IPT).
Satu inisiatif berkaitan adalah penawaran program pembelajaran lebih anjal oleh IPT supaya pendidikan tinggi negara kekal relevan sekarang dan pada masa depan.
Pendidikan anjal merujuk kepada pendekatan yang memberikan kebebasan kepada pelajar untuk mengendalikan waktu, tempat dan cara mereka belajar melibatkan penggunaan teknologi, kaedah pembelajaran dan penilaian yang lebih kontekstual.
Konsep itu bertujuan untuk memenuhi keperluan beragam pelajar dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran global. Kita khuatir, IPT yang masih berpegang teguh dengan penawaran secara konvensional tanpa mengorak langkah ke arah keanjalan dengan meneroka pendidikan anjal bakal ketinggalan seterusnya tidak lagi relevan.
Bagi memastikan kerelevanan IPT dalam negara, maka mereka perlu berubah ke arah program-program dengan penawaran dan pembelajaran lebih fleksibel.
Kita tidak menyatakan bahawa program-program konvensional itu tidak boleh dipakai sama sekali, namun kesesuaiannya perlu dilihat mengikut khalayak dan keperluan pendidikan tinggi semasa.
Dunia pendidikan tinggi perlu bergerak pantas seiring dengan kemajuan teknologi kerana keperluan menyediakan tenaga kerja yang diperlukan dalam pasaran kerja memerlukan individu yang kompeten dalam akademik dan kemahiran disulami elemen sahsiah terpuji.
Kini, pendekatan anjal menjadi aspek penting dalam dunia pendidikan. Ruang keanjalan itu boleh disuntik dalam pelbagai aspek termasuk kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mengurangkan gaya syarahan dan memperbanyak aktviti hands-on, kerja lapangan, perbincangan dan juga fleksibiliti dalam konteks material yang digunakan.
Pembelajaran konvensional mungkin hanya berpandukan buku teks, jurnal, laman sesawang, namun kini pelbagai medium boleh diperbincangkan, malah termasuk bahan daripada sumber media sosial!
Penawaran laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), kursus micro-credentials, kursus pembelajaran dalam talian atau Massive Open Online Courses (MOOC) dan program Work-Based Learning (WBL) sangat digalakkan bagi menarik lepasan SPM mahu pun mereka yang sudah bekerjaya. APEL memberikan dorongan signifikan kepada golongan bekerjaya untuk kembali ke pendidikan formal.
Mereka dapat memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh selama bertahun-tahun bagi membuka pintu untuk kemajuan kerjaya yang lebih baik. Micro-credentials pula mempunyai potensi besar dalam pembangunan kelayakan yang melangkaui faedah peningkatan kemahiran (upskilling) dan memberi kemahiran (reskilling).
Justeru, IPT tempatan boleh mengambil kelebihan bekerjasama dengan industri untuk menghasilkan produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan, seterusnya menawarkannya kepada pelajar antarabangsa pada masa akan datang.
Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) juga telah menerbitkan beberapa garis panduan untuk menyokong kebolehpindahan, kebolehtimbunan dan pengumpulan pembelajaran, ke arah penganugerahan kelayakan bertauliah MQA.
Micro-credentials mampu menyokong kelestarian pembelajaran sepanjang hayat, terutama bagi yang bekerja dan memerlukan pendekatan pembelajaran yang anjal. Pendekatan ‘satu acuan untuk semua’ dalam pendidikan tinggi tidak lagi relevan bagi memenuhi keperluan pelajar pada masa kini dan masa depan.
Oleh itu, masa depan pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia memerlukan fleksibiliti pembelajaran lebih berstruktur yang mampu meningkatkan ketahanan kita terhadap pendidikan masa depan.
Semua inisiatif itu membuka peluang luas untuk masyarakat di negara ini meningkatkan kelayakan masing-masing. Pendidikan anjal di Malaysia menawarkan potensi besar untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan mempersiapkan pelajar menghadapi era pergolakan, ketidakpastian, kekompleksan dan kekaburan (VUCA).
Meskipun masih ada cabaran yang perlu diatasi dalam pelaksanaannya, inovasi dalam pendidikan fleksibel memberikan harapan bagi masa depan pendidikan Malaysia yang lebih inklusif dan relevan.
Melalui kerjasama antara kerajaan, IPT dan masyarakat, pendidikan fleksibel dapat menjadi kunci untuk membentuk generasi yang siap menghadapi dunia yang penuh dinamik.
Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).










