Najmi dibuang padang, TNB bangkit ikat Maybank 3-3

Najmi dibuang padang, TNB bangkit ikat Maybank 3-3

Pemain Maybank, Meor Azuan Hassan (jersi putih) sedang mengekang asakan pemain Tenaga Nasional Berhad, Amirul Hamizan Azahar dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil petang tadi. (FOTO: ihsan HOKITA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlawanan tumpuan minggu pertama Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 membabitkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank yang diadakan di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil petang tadi berlangsung cukup sengit apabila berakhir dengan keputusan 3-3.

TNB yang diperkuatkan dengan pemain import berpengalaman dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun dikejutkan gol daripada Maybank seawal minit kelima menerusi strok penalti yang disempurnakan Muhammad Razie Abd Rahim.

Maybank semakin selesa apabila kapten pasukan, Najmi Farizal Jazlan menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke 14.

Memasuki suku kedua permainan, anak buah Azrul Affendy Bistamam terus garang untuk menjarakkan kedudukan dan hasilnya Shafiq Ikhmal Daniel berjaya meledak gol ketiga Maybank pada minit ke 26.

TNB yang dikendalikan Nor Saiful Zaini masih belum bersedia mengibarkan bendera putih dan usaha mereka berhasil apabila diberikan strok penalti oleh pengadil perlawanan, Ahmad Nazirul.

Syed Shafiq Syed Cholan tenang merapatkan jurang pada minit ke 41, dan berselang tiga minit kemudian, Syafiq sekali lagi membuktikan kewibawaannya untuk menjadikan kedudukan 2-3 apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Perlawanan menjadi semakin tegang apabila Najmi dilayangkan kad merah kerana bertekak dengan Nazirul, yang menyaksikan Maybank terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain sahaja di suku keempat.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya TNB apabila menerusi satu serangan balas, Nik Aiman Rozemi bijak menampan bola ke gawang Maybank untuk mengikat kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke 54.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan, yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa akur berkongsi satu mata.

TNB akan melayan pasukan adik, TNB Thunderbolts pada Ahad, manakal Maybank mempunyai cuti selama lima hari sebelum turun semula beraksi menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 7 Februari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×