MENGENALI jejaka ini, dia seorang yang cukup berjiwa hamba. Sedar dirinya baru bertatih, mencari rezeki dalam industri seni. Langkah disusun supaya teratur jalannya, namun dugaan mendatang siapa menduga.
Namanya baru sahaja mula dikenali, namun ada yang sudah menabur cerita kurang manis. Dikatakan suka menumpang populariti rakan artis lain, penyanyi ini hanya mampu menggeleng kepala. Tanda tidak setuju.
Pedih rasa hati berdepan kata-kata yang tiada berakar, Aidil Maula tidak pernah sekali berniat begitu. Biarpun senarai rakan dalam kalangan anak seni ramai, namun itu tidak beerti dia menumpang populariti mereka.
Tambah menyakitkan hati, tohmahan itu hadir daripada rakan-rakan sendiri yang tidak senang melihat kejayaan kecil Aidil kini.
Mereka tidak berpuas hati dengan strategi seni yang disusun penyanyi itu.
“Benarlah kata orang, berkawan biar ramai tetapi berkasih biar sedikit. Ramai rakan yang menyokong tetapi ada juga yang kurang senang melihat saya. Padahal saya hanya mahu menyempurnakan impian.
“Mereka mendakwa saya guna orang dalam. Tumpang populariti orang lain untuk berjaya. Namun hakikatnya, bukan senang untuk saya memahat nama. Apatah lagi di kala pandemik ini, cabarannya bukan sekecil-kecil anak.
“Cuma saya beruntung apabila ditemani pengurus dan rakan artis yang sentiasa memberi kata sokongan. Mereka mahu melihat saya berjaya, berdiri bersama mereka. Keikhlasan itu yang sukar untuk dicari,” katanya.

Enggan terus hanyut dalam rasa dendam, Aidil tidak mahu menghukum mereka. Terpulang jika ada yang tidak suka, dia okay. Aidil percaya, rezeki itu hadir daripada Yang Maha Esa. Usaha jadi kayu pengukurnya.
“Saya berkawan sahaja dengan mereka. Tidak berdendam atau membenci. Tetapi selepas ini saya lebih berhat-hati dalam berkongsi apa sahaja. Tidak mahu memnumbulkan rasa riak atau iri hati daripada mereka,” katanya.
Terus mencuba, tidak beralah
Hadir dengan single pertama Pedih sekitar September tahun lalu, pandemik yang melanda dunia sedikit sebanyak merencatkan percaturan seni Aidil. Namun dia kekal optimis dan percaya, percaturan Tuhan itu lebih punya magis.
Malah video muzik yang dilancarkan hujung bulan lalu membuktikan dia tidak bermain-main. Menggunakan wang sendiri sebagai modal, dia mengharapkan sinar dan rezeki berpihak terus kepadanya.
Bukan artis kelahiran program realiti, pasti sukar untuknya menembusi pasaran seni. Tetapi reaksi peminat setakat ini membuatkan hatinya berbunga indah. Apa yang diharapkan, lagunya memberi rasa kepada pendengar.
“Saya bukan dari mana-mana platform atau program realiti. Nak keluar single, buat muzik video pun guna duit sendiri. Tetapi saya tahu ini adalah permulaan langkah dalam mengejar impian. Tak salah bukan?
“Apa yang saya kecapi walaupun mungkin kecil di mata orang lain, cukup membanggakan. Saya tidak akan berhenti dan terus menggunakan peluang ini sebaiknya. Enam tahun peram lagu Pedih, akhirnya berjaya didengari.
“Sebelum ini saya pernah cuba uji bakat program realiti tetapi tidak berjaya. Keluarga juga suruh saya tamatkan pengajian. Kini masa yang paling sesuai untuk saya merealisasikan cita-cita,” kata pemuda berusia 26 tahun ini.
Diaju soalan adakah dia merasakan rupa kacak menjadi kunci untuk popular, Aidil tergelak kecil. Tidak pernah dia terfikir untuk menjual muka sahaja. Bakat itu yang utama, lain jatuh di tangga kedua.
“Kalau ada rupa tetapi tak ada bakat pun belum tentu berjaya. Walaupun klise, tetapi saya mahu orang kenal Aidil Maula sebagai penyanyi yang mempunyai bakat dalam nyanyian,” ujar anak bongsu daripada dua beradik ini.

Berhabis untuk Pedih
Muzik videonya mendapat respon positif peminat. Mana tidaknya, berkonsepkan minimalis namun ada jiwa yang ingin disampaikan.
Video tersebut bukan hasil ‘budak tadika’. Dia tak tidur malam memikirkan konsep. Dua hari dia bertungkus lumus merakam video tersebut.
“Bila saya tulis lirik, saya mahu pendengar faham dan rasa. Sebab itu kita berhabis tenaga dan idea untuk muzik video ini. Kita mahu penonton juga rasa kepedihan itu. Saya tak kisah nampak buruk asalkan feel itu sampai.
“Saya berbincang dengan kru produksi untuk dapatkan hasil terbaik. Memang ada masalah, tetapi semuanya berjaya diselesaikan dan hasilnya sangat memuaskan hati,” katanya.

Ditanya adakah Pedih bakal ada kesinambungan sementelah di akhir muzik videonya itu, ada bayangan seolah-olah dia bakal muncul dengan single baharu. Menjawab persoalan itu, Aidil tidak menafikan sama sekali.
“Memang akan ada sambungannya namun semua itu masih dalam perancangan. Buat masa ini, saya mahu fokus untuk mempromosikan Pedih terlebih dahulu. Kalau ada rezeki kelak, memang akan ada single kedua.
“Jangan risau, saya tidak akan terguris dan pedih dengan komen membina serta positif,” katanya.









