KOTA KINABALU: Tambahan aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan membolehkan pasukan operasi bertindak pantas dalam menangani aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan pesisir pantai di negara ini.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, perolehan aset baharu iaitu empat buah bot pemintas laju atau Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II itu akan membantu meningkatkan lagi keberkesanan operasi TLDM di samping, meningkatkan keupayaan cegah rintang yang menjadi faktor kritikal dalam menjamin kedaulatan negara.
Beliau berkata, ancaman terhadap keselamatan negara adalah dinamik dan sentiasa berubah maka, penggunaan aset sebegini amat penting kepada TLDM.
“Perolehan FIC ini adalah bukti komitmen TLDM untuk sentiasa siap siaga bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang, terutamanya dalam menangani ancaman bukan tradisonal dan asimetrik dengan lebih efektif.
“Ancaman bukan tradisional adalah seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan manusia, rompakan di laut dan aktiviti pelanunan yang sentiasa membayangi keselamatan di perairan negara.
“Jadi perolehan FIC ke dalam Armada TLDM amnya dan Armada Timur khasnya, bertindak sebagai aset pelengkap atau force multipliers,” katanya semasa majlis penyerahan FIC G2000 Mk II di Pangkalan TLDM, Sepanggar hari ini.
Mengulas lanjut katanya, FIC berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim kepada TLDM dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan terutamanya di perairan yang cetek dan berpulau.
“Oleh itu, saya memberi jaminan bahawa TLDM akan sentiasa bekerjasama dengan pasukan sahabat yang lain dalam memastikan usaha memelihara keutuhan dan melindungi kedaulatan negara dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien,” katanya.











