PETALING JAYA: Pakar ekonomi berpendapat, sasaran ringgit mencapai paras 4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan kurang realistik, namun tidak mustahil untuk dicapai.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berpendapat, hal ini kerana kadar pertumbuhan ekonomi pada tahun lalu diramal hanya sekitar empat peratus dan tahun ini, mungkin berada sekitar 4.5 peratus.
Katanya, ia menggambarkan pertumbuhan ekonomi negara masih pada kadar sederhana disokong oleh pelaburan domestik yang kukuh berbanding pelaburan asing yang masuk ke dalam negara.
“Di samping itu, siri peperangan di peringkat global yang melibatkan banyak negara telah mempengaruhi unjuran ringgit.
“Isu-isu politik dan rasuah yang masih membelenggu negara hingga kini telah menjejaskan reputasi baik Malaysia dan pelabur asing mungkin memikirkan kesan buruk yang bakal berlaku.
“Selain itu, nilai dagangan negara yang merosot turut mempengaruhi prestasi ringgit pada masa kini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, firma penyelidikan SPI Asset Management menjangka ringgit diniagakan pada paras 4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan sentimen optimis terhadap pemulihan ekonomi China.
Firma penyelidikan Affin Hwang Investment Bank Bhd. pula menjangkakan Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI berprestasi lebih baik pada 2024 dengan jangkaan pertumbuhan 10.5 peratus kepada 1,600 mata menjelang akhir tahun.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, beliau tidak melihat ringgit akan mencapai paras RM4.25 dan Bursa Malaysia mencecah 1,600 mata tahun ini.
Beliau berkata, walaupun ekonomi domestik berada dalam momentum yang baik dan berkembang namun, pasaran kewangan global mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Bursa dan mata wang tempatan.
“Selain itu, krisis geopolitik dan ancaman kemunculan virus baharu yang berbahaya seperti Covid-19 sentiasa membayangi pertumbuhan ekonomi dunia,” jelasnya.
Selain itu, eksport negara juga masih belum pulih malah menurun dari bulan ke bulan sejak Februari 2023 lagi, memberikan bayangan ekonomi global yang perlahan momentumnya.
Jelas beliau lagi, prestasi ringgit dan bursa sebenarnya banyak dipengaruhi oleh faktor ekonomi dan pasaran kewangan global, terutama keputusan yang dibuat oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Ini dibuktikan dengan kenaikan kadar faedah AS dari 0 peratus pada awal 2022 hingga sekarang iaitu 5 hingga 5.25 peratus, mempengaruhi aliran kewangan pasaran global menuju ke instrumen kewangan terbitan Fed seperti bon yang menawarkan kadar faedah yang tinggi.
“Selari dengan itu juga, dolar AS terus mengukuh berbanding mata wang dunia lain termasuk ringgit Malaysia yang kini, menurun nilainya sekitar RM4.72 kebelakangan ini,” katanya. – UTUSAN










