Keputusan Lembaga Pengampunan Najib: Insya-Allah minggu ini

Keputusan Lembaga Pengampunan yang turut membabitkan Najib minggu ini – Dr Zaliha

ZALIHA Mustafa ketika menyertai Program Berjalan Sihat@Putrajaya di Dataran Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kenyataan rasmi mengenai keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka diumumkan minggu ini.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa ketika ditemui media sempena pelancaran Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024).

“Insya-Allah minggu ini,” itu jawapan ringkas Dr. Zaliha selepas disoal wartawan.

Ditanya kenapa masa lama diambil untuk mengeluarkan keputusan itu, Dr. Zaliha berkata, beliau mahu semua pihak bersabar dan menunggu sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan.

“Sabar, sabar dan yakin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, isu keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri itu ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri ada dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi ‘sepintas lalu’ sahaja.

Malah, beliau menjelaskan Kabinet tiada bidang kuasa untuk mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan itu.

Lembaga Pengampunan yang bersidang pada Isnin lalu sudah membuat keputusan mengenai permohonan bekas Perdana Menteri itu, namun sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.

Isu pengampunan Najib menarik perhatian media apabila terdapat desas-desus bahawa Najib menerima pengampunan Diraja bagaimanapun berita tersebut ditarik balik.

Bagaimanapun, Channel News Asia (CNA) melaporkan hari ini bahawa hukuman penjara 12 tahun Najib atas tuduhan rasuah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas mesyuaratnya semalam.

Media Singapura itu melaporkan, keputusan lembaga pengampunan itu yang diketuai Yang di-Pertuan Agong juga termasuk pengurangan denda RM210 juta (AS$44.4 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan, menurut tiga sumber berasingan yang bercakap dengan syarat kerahsiaan ketat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×