Kekalkan elaun, manfaat penjawat awam jika mansuh pencen - Utusan Malaysia

Kekalkan elaun, manfaat penjawat awam jika mansuh pencen

CUEPACS akan mempertahankan elaun dan kemudahan-kemudahan sedia ada dalam kerajaan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mempertahankan kemudahan-kemudahan asas penjawat awam jika skim pencen benar-benar dimansuhkan.

Antara manfaat dinikmati penjawat awam selama ini se­perti elaun perumahan, perubatan, bantuan imbuhan sara hidup (COLA) dan rawatan percuma di hospital kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, penjawat awam berstatus kontrak mungkin be­risiko hilang beberapa kemudahan dan elaun jika pencen dimansuhkan.

“Namun CUEPACS akan mempertahankan elaun dan semua kemudahan lain walaupun kerajaan melakukan pemansuhan pencen kepada lantikan baharu.

“Penjawat awam berstatus kontrak mungkin tidak dapat nikmati semua elaun tersebut kerana tidak mendapat status tetap daripada majikan.

“Sedangkan penjawat awam berstatus kontrak juga perlu elaun tersebut demi meneruskan kehidupan. Penjawat awam mereka bertugas demi negara dan tulang belakang negara,” kata beliau.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam bermula Februari ini berstatus tetap tetapi tidak berpencen.

Ahmad Zahid berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Susulan itu, beliau berkata, pemansuhan pencen haruslah setara dan tidak memilih berdasarkan gred dan upah gaji mereka sebagai kakitangan awam.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, walaupun kerajaan masih dalam perbincangan berhubung pemansuhan pencen, kakitangan awam akan tetap menerima kenaikan tahunan.

“CUEPACS belum mendapat maklumat terperinci berhubung pemansuhan pencen termasuk jika dilaksanakan sama ada dipilih berdasarkan gaji atau bagaimana.

“Setiap penjawat awam ada kenaikan setiap tahun, gaji RM2,000 jika tidak terlibat pemansuhan pencen juga bakal naik. Namun jika kerajaan laksana pemansuhan pencen elok untuk semua penjawat awam,” kata beliau.

Justeru, beliau berkata, kerajaan diharap akan membincangkan sebarang pelaksanaan skim kepada penjawat awam dengan CUEPACS demi kebaikan dan masa depan penjawat awam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×