Saham Avillion berkaitan Daim turun 8.3 peratus

Saham Avillion berkaitan Daim turun 8.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham dalam Kumpulan Avillion Bhd. jatuh sebanyak 8.3 peratus pada sesi dagangan awal pagi ini, selepas ia menarik perhatian pelabur susulan pertuduhan ke atas bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin semalam.

Avillion dan 23 anak syarikatnya disenaraikan antara 71 aset dalam kertas pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kesnya terhadap Daim, memetik laporan The Edge.

Menurut laporan itu, pada pukul 9.43 pagi ini, kaunter syarikat itu didagangkan turun setengah sen kepada 5.5 sen, apabila 1.35 juta saham bertukar tangan setakat ini. Permodalan pasarannya berjumlah RM57.14 juta.

Sepanjang setahun yang lalu, Avillion telah menyaksikan penurunan 38.9 peratus dalam harga sahamnya daripada sembilan sen pada 30 Januari 2023, jelas laporan itu.

Prestasi sahamnya telah merosot sejak mencecah paras tertinggi 78.5 sen pada 2011, dan merosot ke paras terendah tiga sen pada 19 Mac 2020.

Tambah laporan itu, Syarikat mengalami kerugian antara tahun kewangan 2016 (TK2016) dan TK2023. Bagi TK2023 berakhir 31 Mac, Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM4.76 juta. Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2023 (1HTK2024), kerugian bersih meningkat kepada RM3 juta daripada RM2.37 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Pemegang saham terbesar Kumpulan ialah anak Daim, Datuk Md Wira Dani Abdul Daim, dengan 21.82 peratus pegangan melalui Ibu Kota Developments Sdn. Bhd. dan Daza Holdings Sdn. Bhd.,” jelas laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, Wira Dani telah menjadi pemegang saham utama Kumpulan itu sejak April 2016 apabila Kumpulan itu dikenali sebagai Reliance Pacific Bhd.

Wira Dani dan ibunya, Toh Puan Mahani Idris muncul sebagai pemegang saham utama Kumpulan itu pada masa yang sama, tetapi Mahani keluar pada 2020, selepas memindahkan kesemua 247.3 juta sahamnya atau 26.3 peratus ekuiti ke akaun Maybank Trustees Bhd., tambahnya.

Semalam, Daim mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi atas pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009, berhubung kesalahan tidak mengisytiharkan 71 asetnya seperti dikehendaki.

Beliau didakwa tidak mengisytiharkan akaun bank Amanah Saham, tujuh kenderaan termasuk Rolls-Royce, Austin Morris Austin dan Jaguar XJS HE, 38 syarikat dan 25 hartanah, beberapa daripadanya dikaitkan dengan syarikat miliknya.

Antara syarikat yang dinyatakan ialah Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn. Bhd., Menara Ampang Sdn. Bhd., Dream Cruiser Sdn. Bhd., Landbelt Corporation Sdn. Bhd., Avillion Bhd., Avillion Hotel Group, Admiral Cove Development Sdn. Bhd. dan Avillion Hotels International Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×