KUALA LUMPUR: Maharani Energy Gateway Sdn. Bhd (MEG) memeterai kerjasama dengan China Energy International Group (CEIG) Sdn. Bhd. bagi membina loji tenaga hijau di Muar, Johor membabitkan pelaburan AS$2 bilion (hampir RM10 bilion).
Kerjasama melibatkan pembinaan Loji Tenaga Turbin Gas Kitaran Gabubgan (CCGT) serta Loji Hidrogen Hijau dan Ammonia.
Ia turut membabitkan pembinaan tiga pulau buatan di kawasan seluas 1,295 hektar.
Projek itu bakal menjadikan Johor hab tenaga dan pelabuhan laut dalam, dijangka mewujudkan 45,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Pelaksanaan projek itu juga bakal meningkatkan peluang perdagangan serta pelaburan negara dengan syarikat China.
CEIG Sdn. Bhd. merupakan entiti China Energy International, sebuah syarikat multinasional Fortune 500.
Pengerusi Eksekutif MEG, Datuk Dr. Daing A Malek Daing A Rahaman berkata, loji kuasa CCGT akan menggunakan gas asli dan hidrogen untuk menjana elektrik yang boleh dieksport ke negara jiran.
“Projek usaha sama itu akan menjadi pelengkap Inisiatif Tenaga Hijau Malaysia, yang merangkumi pelbagai program dan dasar untuk menggalakkan pembangunan dan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.
“MEG berharap projek dapat mewujudkan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam dengan membina tiga pulau buatan manusia meliputi kawasan seluas 1,295 hektar persegi dan ke mencipta 45,000 peluang pekerjaan,” katanya pada majlis pemeteraian kerjasama itu.
Majlis disaksikan oleh Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan menggalakkan lebih banyak entiti terkemuka dunia seperti CEIG untuk melabur dalam idea dan perniagaan baharu yang boleh menjadi kejayaan besar buat Malaysia.
“Ini akan membantu memangkin penciptaan kekayaan baharu sambil mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan Negara,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata, dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu telah menyebabkan banyak pihak asing menjalin kerjasama dengan pemain tempatan untuk memacu masa depan negara yang lebih hijau.
“Kerjasama antara MEG dan CEIG dengan Gas Kitaran Gabungan Kemudahan Turbin, Hidrogen Hijau dan Ammonia Hijau di MEG akan melengkapkan persekitaran minyak dan gas, petroleum dan industri petrokimia di Johor, terutamanya Pengerang, Tanjung Bin, Tanjung Langsat dan Pasir Gudang.
“Ia juga akan membantu meletakkan Malaysia sebagai hab dan ekosistem tenaga serantau yang berfokuskan tenaga boleh diperbaharui dan mampan,” tambahnya. – UTUSAN










