MAG rancang tambah 12 pesawat baharu

MAG rancang tambah 12 pesawat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) bersedia mengembangkan rangkaian armada dengan memperkenalkan 12 pesawat baharu pada 2024, termasuk Airbus 330-900 (A330neo) pertama, yang dijadualkan tiba pada suku ketiga (S3) tahun ini.

Kumpulan itu menyasarkan untuk menerima empat A330neo tahun ini, bersama lapan Boeing 737-8 untuk menyokong pertumbuhan rangkaiannya.

MAG berkata, ia menandatangani memorandum persefahaman dengan Airbus, Rolls-Royce, dan Avolon pada Ogos 2022 untuk pemerolehan 20 A330neo yang dijadualkan dihantar sehingga 2028.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebanyak 10 daripada pesawat itu dibeli terus daripada Airbus dengan perjanjian jual beli serta pajakan balik bersama Avolon, manakala baki 10 lagi dipajak terus daripada Avolon,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Kapten Datuk Izham Ismail pula berkata, A330neo bakal meningkatkan kecekapan operasi MAG di samping memenuhi sasaran kelestarian alam sekitar dengan menawarkan pengurangan sehingga 25 peratus penggunaan dan pelepasan bahan api.

A330neos mempunyai 297 tempat duduk dengan 28 dalam Kelas Perniagaan dan 269 Kelas Ekonomi. Sebanyak 24 tempat duduk dilengkapi dengan ruang kaki tambahan.

“Kami teruja untuk memperkenalkan 20 Airbus A330neo pada suku ketiga 2024, yang akan menggantikan armada A330ceo kami secara beransur-ansur dan beroperasi dalam rangkaian kami di seluruh Asia, Oceania dan Asia Barat.

“Peluasan ini bukan sahaja tentang meningkatkan jumlah inventori, tetapi juga memperkenalkan kelas kabin pertama seumpamanya, tempat duduk dan pengalaman baharu yang mengutamakan keselamatan, keselesaan dan kepuasan pelanggan keseluruhannya,” katanya.

Katanya, dengan konfigurasi 1-2-1, tempat duduk Kelas Perniagaan Collins Aerospace Ele­vation yang baru direka akan menjadi tempat duduk pertama bagi Kumpulan, menampilkan kabin dengan suite dan pintu privasi individu yang mengutamakan keselesaan dan praktikal kabin.

“Sarung tempat duduk akan menampilkan motif songket tandatangan yang merupakan satu penghormatan kepada warisan budaya Malaysia, mencipta gabungan harmoni tradisi dan gaya kontemporari.

“Dengan susun atur akses ke semua lorong, tempat duduk itu memastikan pengalaman yang selesa dengan menggabungkan reka bentuk mewah dan fleksibiliti penggayaan yang optimum.

“Beberapa ciri tambahan termasuk pod pengecas tanpa wayar, kusyen tempat duduk ergonomik, penyelesaian hiburan dalam penerbangan (IFE) yang sangat bersepadu, termasuk mod kanak-kanak, dan ruang yang mencukupi untuk bekerja, berehat dan menjamu selera dalam keselesaan tertinggi,” katanya.

Jelas beliau, pesawat itu juga akan dilengkapi sambungan WiFi, memastikan penumpang dapat mengalami ruang kabin yang praktikal di atas ‘Malaysian Hospitality’.

Bagi mengukuhkan lagi program pemodenan rangkaian pesawat, Kumpulan juga akan mengubahsuai enam daripada pesawat A350-900 mulai 2026 bagi memastikan penyeragaman kabin yang konsisten dan pengalaman premium untuk pelanggan sejajar dengan kabin A330neo baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini