PETALING JAYA: Purata hari hujan yang banyak menyebabkan kejadian tanah runtuh kerap berlaku di Cameron Highlands, sekali gus menjadikan kawasan tanah tinggi itu kurang selamat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Rahman dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, persekitaran semula jadi Cameron Highlands adalah kawasan sensitif alam sekitar dan menjadi faktor utama hujan lebat serta impak perubahan iklim.
Menurut beliau, setiap tahun terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut November hingga Mac, kerap kali berlaku tanah runtuh sehingga menyebabkan korban.
“Kawasan itu menerima purata hujan tahunan kira-kira 2,660 milimeter dengan kelembapan tinggi dan juga mencatat jumlah hari hujan yang tinggi iaitu 249 dan 239 hari.
“Selain cuaca, pembangunan juga menyebabkan masalah seperti hakisan tanah, pergerakan jisim, penyahhutanan, pencemaran air akibat mendapan sungai dan banjir di kawasan kaki bukit dan dataran rendah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya dihentikan pembangunan baharu terutamanya pada skala besar di samping mengehadkan jumlah pengunjung ke situ.
Menurutnya, pembangunan tidak seimbang yang berat kepada ekonomi dan meminggirkan alam sekitar membawa kepada kemerosotan alam sekitar secara mendadak sehingga berlakunya bencana persekitaran.
“Aktiviti guna tanah seperti pembersihan hutan, pembinaan jalan, pembinaan bangunan dan sebagainya memberi impak kepada kelestarian alam sekitar,” kata beliau.
Jumaat lalu, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita tertimbus selepas rumah dihuni mereka ditimpa kejadian tanah runtuh pada awal pagi. – UTUSAN










