Krisis politik Myanmar punca kenaikan harga makanan, bahan api - Utusan Malaysia

Krisis politik Myanmar punca kenaikan harga makanan, bahan api

SEBILANGAN penduduk dari Hlaing Tharyar di Yangon melarikan diri dengan menaiki lori dan kereta selepas pasukan keselamatan terus menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan anti-kudeta. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa krisis politik yang berlaku di Myanmar menyebabkan harga makanan dan bahan api semakin meningkat di negara itu.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menegaskan bahawa keadaan itu bakal mengakibatkan golongan sasar di Myanmar terjerumus ke dalam kemiskinan.

Harga minyak sawit meningkat sebanyak 20 peratus di kawasan sekitar bandar Yangon berbanding awal Februari lalu apabila tentera junta Myanmar menahan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi sehingga mencetuskan protes secara besar-besaran.

Jelas WFP, harga beras di kawasan pinggir bandar di Yangon dan bandar Mandalay pula menyaksikan peningkatan sebanyak empat peratus sejak minggu terakhir bulan lalu.

Harga beras dilaporkan meningkat sebanyak tiga peratus antara pertengahan Januari dan pertengahan Februari di seluruh negara.

Di beberapa kawasan pula harga beras meningkat antara 20 hingga 35 peratus.

Harga tanaman kekacang pula meningkat sebanyak 15 peratus antara Januari dan Februari di bandar Maungdaw, utara Rakhine.

“Tanda-tanda awal ini agak merisaukan terutamanya bagi golongan sasar yang sudah pun hidup ibarat kais pagi makan pagi.

“Keadaan itu diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19. Jika trend harga ini berterusan maka ia menjejaskan kemampuan golongan sasar dan miskin untuk mendapat makanan yang mencukupi,” kata Pengarah WFP Myanmar, Stephen Anderson.

Jelas WFP, harga bahan api menyaksikan peningkatan sebanyak 15 peratus di seluruh negara sejak 1 Februari lalu dengan kenaikan lebih tinggi di utara Rakhine.

“Ia sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai kenaikan harga makanan pada masa depan,” menurut agensi itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×