Tanjong Karang sokong PM, cubaan 'tebuk atap' gagal

Tanjong Karang sokong PM, cubaan ‘tebuk atap’ gagal

tanjung karang
NOOR Hariri Mohamed Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Cubaan pihak pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menggunakan kaedah ‘tebuk atap’ terus gagal apabila Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang secara terbuka mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata, keputusan itu memperlihatkan dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang kurang senang dengan menukar kerajaan melalui cara tidak sah yang boleh menggugat kestabilan negara.

“Nasihat saya kepada pihak pembangkang supaya hentikanlah cubaan ‘tepuk atap’. Sebaliknya fokus kepada membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Pada masa sama, jadilah pembangkang yang berwibawa, bukannya sekadar menjadi jaguh membuat ‘bising’ dalam parlimen. Berbahaslah dengan bijaksana,” katanya.

Noor Hariri memberitahu, tindakan menukar kerajaan tanpa melalui proses pilihan raya akan terus memberikan kesan tidak baik kepada negara yang sedang dalam proses pemulihan.

Katanya, semua pihak termasuk pembangkang perlu berganding mahu dalam usaha memulihkan semula negara yang sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia hari ini.

“Bila tiba pilihan raya, kita berlawanlah secara anak jantan. Bagi saya itu lebih terpuji daripada terus berusaha untuk tebuk atap.

“Rakyat sudah buat keputusan melalui pilihan raya, jadi hormat keputusan itu,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa hari ini.

Zulkafperi berkata, keputusan itu dibuat selepas sedar dengan keperluan terhadap kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.  

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar. 

Mereka ialah  Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan  Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×