Singapura bukan lagi lubuk rezeki - Utusan Malaysia

Singapura bukan lagi lubuk rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Republik ini merekodkan kejatuhan drastik dalam jumlah pengambilan pekerja bagi tempoh lebih dua dekad pada tahun lalu, dengan golongan bukan pemastautin menyumbang kepada penurunan tersebut.

Menurut Laporan Pasaran Buruh 2020 yang dikeluarkan hari ini, jumlah pengambilan tenaga kerja kecuali pekerja domestik asing menguncup sehingga 166,600 pada tahun lalu, manakala jumlah pekerja bukan pemastautin berkurangan hingga 181,500 bagi tempoh sama.

Namun, kadar pengambilan pekerja bagi rakyat Singapura dan penduduk tetap di republik ini pula meningkat sehingga 14,900.

Lapor Channel News Asia, Menteri Sumber Manusia (MOM), Josephine Teo berkata, ekonomi republik ini semakin pulih, sekali gus memberi kesan positif kepada jumlah pengambilan pekerja.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya semua pihak tidak berasa begitu selesa dengan fasa pemulihan ini kerana risiko Covid-19 tetap ada.

“Sempadan negara tidak akan dibuka secara meluas dan keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi Singapura.

“Skim sokongan kerajaan masih ada, namun kita masih perlu memantau apa yang akan berlaku dalam pasaran kerja ketika ini,” katanya.

Selain itu, Teo juga memberi amaran mengenai akan wujudnya jurang antara golongan pencari kerja dan majikan apabila semakin ramai penduduk republik ini bertukar pekerjaan.

Katanya, kedua-dua pihak itu akan menilai sekiranya mereka benar-benar memenuhi keperluan sektor atau sebaliknya.

“Program latihan kerja seperti SG United Traineeship bertujuan ‘menghalang jurang tersebut  berlaku’ dan memastikan semua keperluan sektor dapat dipenuhi.

“Matlamat utama adalah untuk memastikan program pencarian pekerjaan itu berkesan,” jelasnya.

Dalam pada itu, tahap pengambilan pekerja untuk golongan penduduk adalah pelbagai dalam semua sektor dan menunjukkan peningkatan dalam beberapa industri termasuk pendidikan, kesihatan, perkhidmatan sosial dan kewangan.

Bagi golongan bukan pemastautin, kadar pengambilan pekerja merosot dalam semua sektor terutamanya dalam pembinaan dan pengeluaran.

Penurunan kritikal itu dipacu oleh jumlah pemegang permit kerja yang berkurangan sebanyak 138,800 orang.

 

Kadar pengangguran naik

Secara keseluruhan, kadar pengangguran meningkat dari 2.3 peratus pada 2019 kepada tiga peratus pada 2020.

Pengangguran melibatkan golongan penduduk turut bertambah dari 3.1 peratus pada 2019 kepada 4.1 peratus pada 2020, manakala kadar pengangguran bagi rakyat republik ini naik dari 3.3 peratus (2019) kepada 4.2 peratus pada tahun lalu.

Namun, keadaan itu tidak seteruk epidemik Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda Singapura pada 2003 dan krisis kewangan global pada 2009.

Menurut MOM, kadar pengangguran bulanan di republik ini mula menurun pada dua bulan terakhir 2020.

 

Peningkatan pemberhentian kerja

Selain itu, jumlah pemberhentian pekerja untuk keseluruhan tahun 2020 adalah seramai 26,110 iaitu dua kali ganda berbanding 2019 dengan 10,690 orang.

Purata kadar pemberhentian pekerja pada 2020 adalah 12.8 bagi setiap 1,000 pekerja dan jumlah itu lebih rendah berbanding beberapa tahun sebelumnya iaitu 22.5 bagi setiap 1,000 pekerja.

Kadar dibuang kerja bagi pekerja dengan status penduduk tetap pula adalah 11 bagi setiap 1,000 orang, manakala untuk golongan bukan penduduk, 15.7 bagi setiap 1,000 pekerja. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×