PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap Mohd. Arif Fadzlee Mohd. Arifin seorang bekas penganalisis bank dan pemilik perniagaan bagi dua kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen dan penyalahgunaan gelaran ‘perunding unit amanah’.
SC dalam kenyataan berkata, Mohd. Arif dikenakan pertuduhan mengikut seksyen 59(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan pertuduhan di bawah seksyen 362 (3) CMSA.
Jelas SC, Mohd. Arif dikenakan kedua-dua pertuduhan itu kerana menyatakan dirinya sebagai wakil CIMB Wealth Advisors Berhad dalam berurusan dalam sekuriti tanpa lesen dan menggunakan gelaran ‘perunding unit amanah’ yang memberi tanggapan bahawa dia dilesenkan untuk berurusan dalam sekuriti.
Menurut suruhanjaya itu, kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku pada tahun 2011 di Petaling Jaya dan Nilai serta Arif menuntut dibicarakan di mahkamah berasingan.
Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Datin Sabariah Othman membenarkan Mohd. Arif diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan di bawah seksyen 59(1) CMSA.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azrul Darus turut membenarkan ikat jamin RM30,000 tetapi dengan dua penjamin bagi pertuduhan di bawah seksyen 362(3) CMSA.
Kedua-dua mahkamah itu memerintahkan, Mohd. Arif untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SC setiap bulan.
Dalam pada itu, SC berkata, urus niaga dalam sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 CMSA dan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC.
“SC menasihatkan pelabur supaya berhati-hati apabila menilai peluang pelaburan.
“Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan atau tidak berlesen,” katanya.-UTUSAN










