BICARA NIAGA – SIRI 1

MUKADIMAH
Saban tahun, pembentangan laporan tahunan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menjadi tumpuan. Sesetengah orang menjadikan ia sebagai gambaran kedudukan ekonomi negara sepanjang tahun, ada juga yang menjadikannya sebagai modal politik.
Khazanah berjaya mencatatkan keuntungan tahunan walaupun negara berhadapan cabaran ekonomi yang sangat besar pada 2020. Malah, dividen tahunannya kepada kerajaan juga bertambah.
Bagi mendalami cabaran dan bagaimana Khazanah berjaya mendepani cabaran pandemik pada 2020, ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia Yulpisman Asli dan Ku Syafiq Ku Fozi serta jurugambar dan juruvideo, MUHAMAD IQBAL ROSLI bersama Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

UTUSAN: Bagaimana Datuk melihat Khazanah ketika ini?
SHAHRIL RIDZA: Khazanah ialah satu dana yang memang diperlukan untuk negara. Kita menjaga aset-aset negara dan pelaburan yang dilakukan Khazanah adalah untuk dua perkara. Pertama untuk menjana pulangan komersial, iaitu pulangan terlaras sebenar, di mana kita cuba dapatkan keuntungan berpatutan berdasarkan risiko yang perlu diambil dalam pelaburan tersebut. Kedua, Khazanah juga melabur untuk industri strategik negara. Ini menjadi pemangkin untuk pembangunan ekonomi, menjana pekerjaan serta menggalakkan pelabur swasta melabur dalam sektor yang penting untuk negara. Itulah dua fungsi Khazanah di mana kita menjalankan kedua-duanya untuk manfaat rakyat Malaysia.
Sejauh mana sumbangan Khazanah kepada negara?
Untuk Khazanah, kita memang mengembalikan keuntungan yang dijana kepada kerajaan melalui dividen. Kalau kita lihat seperti yang dilaporkan, untuk 2020 kami telah meningkatkan dividen tersebut kepada RM2 bilion. Kalau kita kira sekali dengan sumbangan lain yang dibuat oleh Khazanah, terutamanya untuk menangani Covid-19 dan membantu kerajaan dalam usaha promosi yang lain, keseluruhan untuk 2020 kita telah menyumbang kira-kira RM2.2 bilion kepada kerajaan.
Kalau kita lihat dari segi sumbangan lain, melalui Yayasan Hasanah, kami mementingkan bantuan pelajaran dari segi pemberian biasiswa dan sumbangan kepada para pelajar. Pada masa ini, Yayasan Hasanah menaja lebih 400 pelajar di peringkat sekolah menengah, matrikulasi dan juga universiti. Selain daripada itu, mereka juga menyumbang dan membuat penyelarasan antara sektor swasta dengan kerajaan dalam usaha menangani kesan Covid-19 dan bantuan bencana. Untuk 2020, sebanyak RM100 juta daripada sumbangan yayasan tersebut untuk pendidikan dan bantuan lain manakala RM100 juta lagi melibatkan penyelarasan dengan sektor swasta, terutamanya untuk menangani kesan Covid-19.
Bagaimana jangkaan sumbangan Yayasan Hasanah untuk tahun ini?
Untuk 2021, Yayasan Hasanah akan terus membuat sumbangan dari segi penajaan pelajar, pemberian biasiswa ataupun menaja usaha lain terutamanya dalam bidang seni serta mempromosikan perlindungan alam sekitar. Tahun ini juga kerajaan telah menegaskan kepada Yayasan Hasanah untuk membuat penyelarasan antara kerajaan dengan swasta untuk Inisiatif Tabung Cerdik. Ia inisiatif kerajaan untuk mendapatkan komputer riba serta peralatan internet untuk para pelajar yang memerlukan. Walaupun pelajar pada masa ini telah kembali ke sekolah, tetapi inisiatif ini dari segi jangka panjang mustahak kerana kita mahu promosikan budaya digital dalam kalangan pelajar di Malaysia. Ini salah satu projek pemangkin yang diteruskan oleh Yayasan Hasanah melalui kolaborasi sektor swasta dengan kerajaan untuk memulakan budaya digital dari segi pendidikan di Malaysia.
Adakah ini bermakna Khazanah terlibat dengan MyDIGITAL?
Secara langsungnya tidak, tetapi syarikat-syarikat di bawah Khazanah memang terlibat. Kita ada pegangan dalam syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia (TM), Time.com dan Axiata. Syarikat-syarikat ini yang akan bekerjasama dengan MyDIGITAL untuk memastikan bahawa infrastruktur untuk 5G yang diperlukan oleh negara boleh dijalankan dengan lancar dan berkesan. Pelaksanaannya secara terperinci kita belum pasti lagi sebab memerlukan lebih banyak perbincangan antara mereka.
Boleh Datuk kongsikan, apa lagi agenda pemerkasaan rakyat yang menjadi tumpuan Khazanah?
Satu lagi tumpuan Khazanah ketika ini, kita sedang bekerja dengan kerajaan untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya untuk anak muda yang baru hendak masuk dalam alam pekerjaan. Walaupun pada masa ini, ekonomi bermasalah akibat Covid-19, ia satu perkara yang ditekankan untuk syarikat-syarikat di bawah kita selain Khazanah sendiri dan pelabur yang lain. Mereka digalakkan untuk terus mencari peluang mengembangkan aktiviti mereka dan menjana lebih banyak pekerjaan.
Pada pandangan Datuk, adakah usaha pemulihan ekonomi kita boleh berjaya?
Ekonomi selepas wabak Covid-19 dilihat agak rumit. Kerajaan berbelanja lebih dan memberikan lebih insentif kepada majikan dan syarikat untuk menjana pekerjaan baharu atau melindungi pekerjaan sedia ada supaya dapat mengurangkan beban pengangguran. Apa yang kerajaan boleh buat agak terhad kerana ekonomi sendiri perlu pulih. Ia sesuatu yang mustahak agar kita boleh menang dalam melawan Covid-19. Kita mahu kembalikan keyakinan kepada pengguna dan pekerja supaya mereka senang hati berbelanja.
Ini yang diperlukan oleh ekonomi, bukan sahaja inisiatif kerajaan. Kerajaan ada hadnya, tidak ada kerajaan di dunia ini yang mempunyai belanjawan tanpa had. Strategi yang semua kerajaan di dunia guna adalah untuk menangani Covid-19 secepat mungkin supaya aktiviti ekonomi boleh berjalan seperti biasa dan ekonomi akan pulih secara sendiri.
Apa yang kerajaan lakukan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mereka cuba mendapatkan kesimbangan. Mereka cuba memastikan ekonomi pulih dan kesihatan terjaga. Kita tidak boleh melebihkan salah satu sebab kedua-duanya mustahak. Paling penting ketika ini ialah kempen vaksinasi yang telah dimulakan kerajaan.
Kita pun dari segi pelabur dan peserta ekonomi terus menggalakkan orang ramai untuk mendaftar dalam program vaksinasi. Sebab dengan itu, kita akan mula memulihkan ekonomi dan jika itu berjaya, kita dapat mencapai tahap imunisasi pada akhir tahun ini, ekonomi boleh dibuka dan aktiviti ekonomi boleh kembali seperti biasa.
Di pihak Khazanah, kesan yang kita rasai adalah dari segi penerbangan dan pelancongan. Kita ada pelaburan dalam Malaysia Airlines Berhad (MAB), hotel-hotel dan tempat peranginan. Ini yang paling teruk, belum pulih dan tertutup.

– UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Apa usaha yang kerajaan perlu lakukan bagi mempercepat pemulihan sektor penerbangan dan pelancongan?
Jika kita lihat data dan jangkaan antarabangsa daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ketika ini penerbangan dan pelancongan antarabangsa tidak akan pulih pada tahap sebelum Covid-19 sebelum 2024, paling awal pun 2023. Apa yang diperlukan untuk percepat pulangan ekonomi daripada dua sektor ini ialah imunisasi dan pembukaan sempadan negara.
Pembukaan sempadan juga tertakluk kepada keyakinan kita terhadap program imunisasi. Untuk pelancong datang ke negara kita mereka perlu yakin kita berjaya mengawal Covid-19 dan kita pun perlu yakin pelancong yang datang ke Malaysia berada pada tahap yang setaraf dengan kita. Itu paling sukar sebab setiap negara dalam proses pemulihan.
Kita perlu wujudkan satu situasi di mana keyakinan itu ada terhadap pelancong yang datang dari segi imunisasi mereka. Kita melihat teknologi yang digunakan, kita perlu yakin terhadap proses dan data mereka kemudian mereka juga perlu yakin dengan proses dan data kita. Ia bertimbal balik.
Kalau lihat negara lain juga memang susah walaupun negara itu dah mencapai tahap yang baik dalam sempadan mereka, seperti New Zealand dan Australia. Tetapi mereka masih ragu untuk bawa pelancong dari luar negara masuk.
Betul cogan kata yang digunakan Kementerian Kesihatan dan WHO, kita tak akan menang selagi kesemua negara tak menang. Oleh itu, sektor pelancongan dan penerbangan masih sukar sehinggalah kita boleh capai satu tahap keyakinan yang setaraf antara semua negara. – UTUSAN










