RCEP bawa kesan positif, akses pasaran lebih luas - Utusan Malaysia

RCEP bawa kesan positif, akses pasaran lebih luas

Sebagai negara berpenduduk sederhana, syarikat-syarikat Malaysia memerlukan pasaran yang lebih luas untuk berkembang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha kerajaan meratifikasi perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dilihat mampu memberi kesan positif kepada ekonomi negara dengan akses pasaran yang lebih besar kepada 15 buah negara selain sumber bahan mentah dan rangkaian bekalan bertaraf global.

Ini kerana, sebagai negara berpenduduk sederhana iaitu 32 juta sahaja, syarikat-syarikat Malaysia memerlukan pasaran yang lebih luas daripada sekarang.

Buat masa ini, kebanyakan industri merasakan pasaran domestik sangat terhad dan tidak berkembang dengan cukup pesat untuk menampung kehendak pemain-pemain industri tempatan.

 

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid (gambar) berkata, RCEP membantu mereka mendapatkan akses tersebut dan kesannya akan menjadikan pemain industri tempatan lebih berdaya saing di peringkat global apabila ada keperluan meningkatkan tahap operasi, pemasaran, pengeluaran bahan mentah dan sebagainya.

“Akses kepada pelaburan langsung asing (FDI) daripada rakan-rakan negara dalam RCEP nanti pasti mengutamakan negara kerjasama serantau ini. Ia pasti membantu mendorong hasrat Malaysia untuk menarik FDI bersasar seperti yang membawa teknologi tinggi, penyelidikan, industri pengeluaran menggunakan Revolusi Industri 4.0 (RI4) dan kecerdasan buatan (A)I untuk masuk ke negara ini.

“Seterusnya RCEP membantu mengurangkan birokrasi serta tarif antara negara yang tidak adil seperti yang berlaku sekarang. Perubahan tarif perdagangan ini juga membantu memudahkan perdagangan dua hala, sekali gus memberi ke­lebihan kepada syarikat Malaysia ter­utamanya syarikat milik kerajaan (GLC) untuk bersaing dan menjadi jaguh di rantau ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Bagaimanapun ujar Aimi Zulhazmi, RCEP turut membawa kesan buruk kerana ia memaksa negara untuk membuka pasaran dan akses lain yang selari de­ngannya kepada syarikat-syarikat besar daripada 15 negara yang berada dalam perjanjian tersebut.

Jelasnya, ini memaksa beberapa peraturan sedia ada selama ini perlu dirombak untuk membuka pasaran yang lebih liberal dan kompetitif.

“Ini juga menyebabkan beberapa syarikat-syarikat GLC yang selama ini mendominasi industri-industri tertentu terpaksa bersaing untuk mempertahankan ‘kawasannya’, namun jika dilihat secara positif ia akan membuatkan syarikat-syarikat Malaysia lebih kompetitif dan memaksa diri untuk lebih berdaya saing.

“Selain itu, peningkatan kebergantungan kepada pasaran dunia melalui RCEP menyebabkan Malaysia kurang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi domestik dan sekiranya berlaku sebarang kesulitan kepada pasaran luar seperti pandemik Covid-19.

“Oleh itu, kerajaan harus menyedarkan syarikat tempatan untuk sedia bersaing di halaman sendiri dan mestilah mengambil kesempatan daripada pasaran 15 negara yang dibuka melalui RCEP ini,” ujarnya.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan memberi jaminan Malaysia akan meratifikasi perjanjian RCEP tidak lama lagi setelah kata sepakat dicapai dalam Mesyua­rat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang diyakini memberi peluang kepada pemain domestik .

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan membantu semua pemegang taruh dalam aspek pemasaran, produktiviti dan pelbagai lagi insentif dan pada masa sama mereka perlu meningkatkan daya produktiviti mereka.

RCEP menjadi perjanjian perdagangan bebas terbesar disertai Malaysia sekali gus menjadi bukti pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala disamping usaha memperkasa agenda pembangunan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×