Mohon kecuali bil air Januari

Mohon kecuali bil air Januari

MOHAMED Ghazali Ahamed Seeni Pakir menunjukkan simpanan air yang belum digunakannya di Restoran Nasi Kandar Hameediyah, George Town, Pulau Pinang kelmarin. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pengguna air di Pulau Pinang terutama pengusaha restoran merayu pengecualian bayaran bil air untuk sebulan kerana penggunaannya yang didakwa tidak terkawal ketika persiapan gangguan bekalan berjadual bermula 10 Januari lalu.

Mereka yang ditemui Utusan Malaysia memohon pertimbangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) agar diberi ‘saguhati’ kepada semua pengguna air terjejas.

Bukan setakat itu, ada dalam kalangan mereka mula melahirkan kebimbangan mengenai kadar bulanan bil air yang bakal dikenakan nanti.

Pengarah Restoran Nasi Kandar Hameediyah, Mohamed Ghazali Ahamed Seeni Pakir berkata, pihaknya telah membelanjakan hampir RM30,000 untuk menyewa tong air sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan berjadual selama empat hari, minggu lalu.

Katanya, sebanyak 42 tong air hitam disewa empat hari untuk kegunaan di dua premis yang beroperasi di pusat bandar dan Sungai Ara sepanjang gangguan.

“Kami perlu membuat persiapan awal sebelum berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari dan sepanjang tempoh itu perniagaan beroperasi seperti biasa,” katanya semalam.

Sementara itu, seorang pengguna air, Ariq Ismail, 52, juga meminta kerjasama PBAPP untuk pengecualian bayaran bil air atau potongan 50 peratus untuk tempoh sebulan iaitu Januari sebelum pelaksanaan tarif air baharu menjelang Februari ini.

“Paling dibimbangi adalah kadar bayaran bil air terkini nanti. Kami menggunakan banyak air untuk disimpan di dalam lebih 20 bekas termasuk baldi, tong air dan kolam sebagai kegunaan sepanjang tempoh empat hari bekalan terganggu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow pula berharap PBAPP memberi peluang kepada semua pengguna terjejas bekalan air terutama peniaga makanan di negeri ini.

“PBAPP diharap dapat mempertimbangkan rayuan pengecualian bayaran bil air daripada peniaga atau pengguna yang benar-benar terkesan. Mereka (pengguna) bukan saja-saja nak simpan air dalam kuantiti yang banyak malah ada sebab tertentu mereka simpan.

“Siapapun tidak duga akan berlaku sebegini. Pengguna perlu membuat persediaan jika sebarang kemungkinan berlaku sepanjang tempoh gangguan air berlaku. Mungkin juga bimbang ketiadaan pelanggan atau kehadiran pelanggan yang ramai waktu itu (semasa bekalan air terganggu),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×