PETALING JAYA: Melalui kejayaan skim penstrukturan semula hutang baru-baru ini, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjamin Malaysia Airlines Berhad (MAB) terus mampu ‘terbang’ dalam tempoh beberapa tahun ini.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, kebenaran untuk melaksanakan penstrukturan semula hutang daripada Mahkamah Tinggi Keadilan United Kingdom (UK) pada Februari membolehkan MAB meneruskan operasinya selepas ini.
“Pada Mac ini, kita selesaikan semua perjanjian yang diperlukan supaya skim itu beroperasi.
“Ini akan menjamin MAB untuk terus ‘terbang’ dalam masa beberapa tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Shahril Ridza, penstrukturan semula itu akan mengurangkan kos operasi MAB kerana syarikat itu akan mendapat potongan dari segi pajakan dan pelepasan daripada semua pemiutang.
Menurut beliau, tanpa penstrukturan semula tersebut, Khazanah perlu membelanjakan kira-kira RM10 bilion ke RM15 bilion untuk MAB, berbanding kira-kira RM3 bilion yang diperlukan sekarang.
“Penjimatan ini akan berterusan pada masa hadapan juga kerana kebanyakan penjimatan ini adalah tetap, bukan sementara. Ini akan membawa faedah kepada MAB kerana ia akan mengurangkan kos operasinya untuk masa hadapan dan ketika berhadapan dengan Covid-19 sekarang.
“Selain itu, kita juga melakukan pertukaran hutang ke ekuiti yang akan mengukuhkan kunci kira-kira MAB kerana ekuitinya akan meningkat melebihi liabiliti dan pinjaman mereka,” katanya.
Walau bagaimanapun ketika ini, pengecilan operasi tidak dapat dielakkan buat MAB memandangkan pengurangan penumpang yang drastik akibat pandemik Covid-19 memaksa syarikat itu melaksanakan langkah penjimatan kos.
Kata beliau, sepanjang tempoh pandemik, pengurangan penumpang dan penerbangan mencecah antara 80 hingga 90 peratus, sekali gus memberi kesan besar kepada pendapatan syarikat.
“Untuk kakitangan, kita ambil inisiatif mempercepat skim persaraan dan menggalakkan mereka ambil cuti. Kita cuba sedaya upaya untuk mengurangkan pengangguran.
“Kita tahu, suatu masa nanti kita perlukan kakitangan untuk teruskan penerbangan semula. Kita cuba beri peluang kepada kakitangan untuk terus bersama MAB tetapi pada masa ini, kita terpaksa sedaya mungkin mengurangkan kos operasi.,” katanya. – UTUSAN










