PETALING JAYA: Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional (NLDC) Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih anugerah tertinggi dalam Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) 2023 oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, anugerah tersebut membuktikan komitmen berterusan TNB dalam menjaga aset kritikal negara dan usaha gigih melaksanakan peralihan tenaga yang bertanggungjawab.
Jelasnya, penekanan digitalisasi dan automasi secara signifikan meningkatkan kualiti perkhidmatan keselamatan, selari dengan aspirasi TNB menyokong agenda kelestarian dan mencapai Sifar Bersih menjelang 2050.
“Kami sentiasa memantau keselamatan aset utama di seluruh negara dengan memberi keutamaan kepada keupayaan pencegahan, pengurusan insiden dan menangani risiko keselamatan yang semakin berkembang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, beliau menekankan peranan penting Jabatan Perkhidmatan Keselamatan TNB, TNB Global Business Solutions (TGBS) yang berdepan pelbagai ancaman dan cabaran menguruskan keselamatan aset bernilai RM205.9 bilion di seluruh negara.
“Kerjasama dengan agensi keselamatan negara menjadi komitmen kami dan akan memberikan sokongan padu untuk pembangunan dan pengukuhan keselamatan negara di tengah arus perubahan dinamik serta skop kerja yang semakin berkembang,” katanya.
Menurut Baharin, pengiktirafan anugerah tertinggi lima bintang itu memperlihatkan kepakaran TNB dalam memastikan operasi pembekalan elektrik yang cekap.
Dalam pada itu, sebanyak 28 syarikat tersenarai menerima pengiktirafan dalam lima kategori semasa APBSP 2023 atas pengurusan kawalan keselamatan dan perlindungan yang tinggi dan cekap bagi instalasi kritikal negara.
Sementara itu, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Bersia, Perak dan substesen utama TNB di Bukit Tambun, Pulau Pinang dan Chuping, Perlis masing-masing turut diiktiraf lima dan empat bintang dalam anugerah yang sama. –UTUSAN










