Aset luar biasa: SPRM ambil keterangan anak bekas PM - Utusan Malaysia

Aset luar biasa: SPRM ambil keterangan anak bekas PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Seorang ahli perniagaan  iaitu anak kepada  bekas Perdana Menteri hadir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan aset bernilai tinggi di luar pesisir.

Keterangan  anak sulung kepada bekas Perdana Menteri itu diambil kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Utusan Malaysia difahamkan, ahli perniagaan itu antara beberapa individu berprofil tinggi yang namanya disebut di dalam pendedahan Pandora Papers. 

Siasatan  SPRM ke atas ahli perniagaan itu dilakukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Satu sumber mendedahkan, siasatan SPRM memberi fokus dari pelbagai sudut termasuk mengesan aset-aset dan pelaburan yang dikaitkan ahli perniagaan itu di luar negara yang  kemungkinan ia hasil daripada projek-projek kerajaan.

“Selain itu, siasatan uga mempunyai kaitan berhubung isu penglibatan beliau di dalam sebuah syarikat Konsortium Perkapalan pada tahun 1990-an yang kemudian  diselamatkan (bail-out).

“Syarikat perkapalan tersebut diselamatkan oleh sebuah syarikat gergasi petroleum negara ketika krisis ekonomi pada tahun 1998 manakala   bapanya ketika itu adalah Perdana Menteri,” kata sumber itu.

Sebelum ini akhbar ini  melaporkan, beberapa ‘taikun perniagaan’ terkemuka Malaysia akan dipanggil SPRM.

Untuk rekod, Pandora Papers  adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh di dunia termasuk Malaysia yang didakwa menyembunyikan kekayaan masing-masing di luar Malaysia  dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’.

Offshore merujuk kepada syarikat berpangkalan di negara luar, mempunyai rangkaian dan struktur yang kompleks diwujudkan merentasi sempadan bagi menyembunyikan pemilikan kekayaan dalam bentuk wang dan aset.

Menerusi pendedahan sama, dua individu dari Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari negara ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×