SUNGAI PETANI: Perkhidmatan bot bagi aktiviti eksplorasi menelusuri Sungai Merbok disediakan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) kembali beroperasi awal bulan ini selepas hampir empat tahun dihentikan disebabkan Covid-19.
Ketua Bahagian Pelancongan MPSPK, Mohd. Farid Ismail berkata, sebanyak RM250,000 dibelanjakan untuk membeli dua buah bot baharu jenis katamaran bagi menggantikan bot lama yang rosak.
Beliau berkata, perkhidmatan tersebut kini dibuka setiap hari dan waktu pelayaran terbahagi kepada tiga sesi iaitu sesi pagi, pukul 10.30 pagi dan dua sesi petang pukul 2.30 petang dan 5.30 petang.
Katanya, setiap sesi pelayaran satu jam 30 minit dan pengunjung akan dibawa belayar menelusuri Sungai Merbok bermula dari Jeti Semeling sehingga ke muara Sungai Petani sebelum berpatah balik ke jeti.
“Pengunjung boleh menikmati keindahan dan kehijauan lebih 40 spesies pokok bakau di sepanjang pelayaran selain melihat beberapa tempat bersejarah seperti tapak istana lama Pulau Tiga dan tapak arkeologi Sungai Batu serta sangkar ternakan ikan dan tiram.
“Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati keindahan panorama matahari terbenam sekiranya memilih sesi pelayaran sebelah petang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Mohd. Farid, setiap bot boleh memuatkan 40 orang dalam satu masa dan jumlah minimum setiap pelayaran adalah 20 penumpang.
“Justeru, pengunjung dinasihatkan membuat tempahan bagi memastikan jumlah minimum mencukupi sebelum datang ke jeti,” katanya.
Katanya, harga tiket untuk pelancong tempatan RM20 bagi dewasa, RM10 untuk pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta percuma bagi kanak-kanak berusia bawah enam tahun.
“Bagi pelancong antarabangsa RM35 bagi dewasa, RM20 (pelajar), RM25 (warga emas dan OKU) serta percuma kanak-kanak bawah enam tahun.
“Kita sedang merancang pelbagai aktiviti lain untuk dimasukkan dalam pakej ini termasuk aktiviti beri makan burung helang,” ujarnya. – UTUSAN











