KANGAR: Biarpun permintaan terhadap bot dan sampan kayu tidak sama seperti dahulu, seorang penduduk di Kampung Tandiap, Seberang Ramai di sini masih mempertahankan kerja-kerja tersebut agar tidak terus pupus.
Selain menghasilkan bot dan sampan, Hashim Ahmad, 57, turut mahir menghasilkan pembuatan perahu lumba yang sememangnya sinonim dengan penduduk setempat khususnya sewaktu penganjuran Pesta Air Kuala Perlis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hashim berkata, dia menceburi bidang pembuatan bot dan sampan kayu lebih 20 tahun lalu, malah turut mendalami kemahiran kerja-kerja pertukangan lain dengan seorang tukang kayu dari negara jiran.
“Memang kebanyakan tauke dan nelayan pada masa ini lebih cenderung kepada bot fiber namun permintaan untuk bot dan sampan kayu masih ada walaupun tidak banyak,” katanya.
Cerita Hashim, bagi pembuatan sampan dan bot kayu, dia mampu memasarkannya pada harga sekitar RM5,000 bergantung kepada saiz dan permintaan pengguna.
Bagi pembuatan perahu lumba pula, Hashim berkata, harganya mampu mencecah sehingga belasan ribu kerana panjangnya sekitar 15.24 meter.
“Saya kebiasaannya menggunakan kayu cengal batu bagi pembuatan bot, sampan atau perahu lumba kerana ia lebih tahan lama malah tidak mudah rosak jika kena air,” katanya.
Dalam pada itu, Hashim berkata, bagi tempoh setahun, dia biasanya menerima tempahan pembuatan bot dan sampan kayu antara empat hingga ke enam buah daripada penduduk setempat khususnya sekitar Kuala Perlis.
Katanya, bagi kerja-kerja membaik pulih bot dan sampan kayu, dia menerima permintaan sekitar tujuh ke 10 buah dalam masa sebulan.
“Jika saya tidak menerima tempahan apa-apa, saya biasanya akan mengambil upah sebagai tukang rumah atau menebang pokok.
“Memang kerja pembuatan sampan dan bot ini tidak begitu menguntungkan namun saya akan terus mempertahankannya agar ia tidak tenggelam ditelan zaman,” katanya. – UTUSAN









