PETALING JAYA: Sebanyak tujuh syarikat menawarkan diri bagi melaksanakan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur (KL)-Singapura yang kini dianggarkan bernilai lebih RM100 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR Corp), Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, tujuh syarikat itu adalah antara 37 syarikat yang membeli dokumen tender menerusi proses Permintaan Maklumat (RFI) yang dibuka oleh kerajaan.
“Semasa ditutup pada pukul 12 tengah hari 15 Januari 2024, tujuh syarikat telah majukan cadangan untuk dipertimbangkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, syarikat yang diberi mandat untuk membangunkan projek kereta api itu dijangka diketahui dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
Menurutnya, kesemua syarikat yang berminat itu akan diteliti berdasarkan tiga syarat antaranya memiliki kewangan mencukupi untuk membiayai projek 100 peratus selain mempunyai pengalaman membina HSR di negara luar serta mempunyai kepakaran bagi projek berkenaan.
“Jadi, selepas ini Lembaga HSR akan buat kajian dan lihat mana syarikat (berkemampuan) untuk bina projek ini.
“Contoh pasukan teknikal akan pergi menilai kepakaran dan pengalaman syarikat itu. Kalau mereka kata sudah pernah buat di Indonesia, maka pasukan kita akan pastikan sama ada di sana atau melalui bukti nyata.
“Oleh itu, kita harap dua tiga bulan siap semua (penelitian) serta kita akan hantar (cadangan) kepada Kabinet dan mereka akan buat keputusan. Harap cepat dua tiga bulan, tetapi kadangkala syarikat ini di luar negara, jadi mungkin ambil masa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
RASMI
Pada Februari 2013, Malaysia dan Singapura secara rasmi bersetuju membina HSR melalui perbincangan antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Singapura.
Namun, projek itu terbatal secara sendirinya pada 1 Januari 2021 apabila Memorandum Persefahaman (MOU) HSR berakhir pada 31 Disember 2020 selepas dipercayai, tiada persetujuan dicapai mengenai perubahan yang dicadangkan Malaysia.
Malaysia pada 29 Mac 2021 mengumumkan sudah membayar RM320,270,519.24 atau S$102,815,576.00 kepada Singapura sebagai pampasan susulan pembatalan projek HSR.
Pada 8 Mac 2021, Malaysia dilapor terbuka untuk menghidupkan semula HSR KL-Singapura asalkan ia tidak dibiayai kerajaan.
Pada Julai 2023, MyHSR melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) untuk membolehkan sektor swasta mengemukakan cadangan rasmi konsep HSR KL-Singapura.
Projek kereta api laju itu kini dianggarkan melebihi RM100 bilion.
Mengulas mengenai jangkaan projek HSR KL-Singapura siap, Fauzi berkata, MyHSR Corp tidak meramal perkara itu sebab ia dibina oleh syarikat swasta.
PROJEK
Namun, kata beliau, pihaknya mengharapkan projek berkenaan dapat disiapkan secepat mungkin kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat.
“Yang paling kita bimbang ialah pengambilan tanah, yang itu akan mengambil masa. Sebab pengalaman saya dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pengambilan tanah yang memakan masa lama.
“Jadi, selepas 15 Januari ini kita akan mesyuarat, syor laluan kepada Kabinet dan kalau Kabinet setuju, maka kita akan jalan usaha itu (pengambilan tanah),” katanya.
Berhubung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini supaya lintasan sempadan melalui pembangunan hartanah bermasalah, Forest City, Fauzi berkata, pasukan teknikal sudah mengkaji perkara berkenaan terlebih dahulu dan lokasinya adalah strategik untuk dilalui oleh HSR.
“Saya menjunjung kasih dan menghormati pandangan Sultan Johor. Baginda dilihat memahami faedah hasil kepada HSR di negara lain dan mahu projek itu dibawa untuk kebaikan rakyat Johor.
“Saya sudah lihat laluan yang dicadangkan HSR dan ia memang berhampiran Forest City. Jadi laluannya akan melalui pinggiran Forest City sebab kedudukan hartanah itu memang strategik dilalui HSR,” katanya.- UTUSAN










