YANGON: Sekurang-kurangnya 39 penunjuk perasaan dilaporkan terbunuh di Myanmar dalam keganasan terbaharu sejak rampasan kuasa berlaku pada 1 Februari lalu.
Sekurang-kurangnya 22 penunjuk perasaan anti kudeta maut di kawasan pinggir bandar Hlaingthaya di Yangon selepas sebuah kilang pakaian milik China terbakar.
Menurut sebuah badan pemantau, Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), sebanyak 16 lagi penunjuk perasaan termasuk seorang anggota polis terbunuh di beberapa tempat lain.
Kejadian yang berlaku itu disifatkan sebagai hari paling berdarah sejak sejak tentera merampas kuasa dan menahan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi.
Kedutaan China memberitahu bahawa ramai pekerja China cedera dan terperangkap dalam serangan yang dilakukan oleh individu tidak dikenali di kilang pakaian di Hlaingthaya.
Justeru, kedutaan itu menggesa Myanmar untuk memberi perlindungan kepada rakyatnya dan harta mereka.
Terdahulu, junta tentera Myanmar menguatkuasakan undang-undang tentera di dua kawasan perbandaran di Yangon iaitu di Hlaing Tharyar dan Shwepyitha. – REUTERS










