Warga pendidik bersyukur Utusan Malaysia kembali ke sekolah

Warga pendidik bersyukur Utusan Malaysia kembali ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Warga pendidik dan pesara guru bersyukur dan menyambut baik apabila Kementerian Pendidikan menarik balik serta merta arahan larangan langganan akhbar Utusan Malaysia sejak enam tahun lepas.

Pesara guru, Abdul Latif Umar, 62, mengakui larangan kementerian berkenaan ketika itu menyebabkan institusi pendidikan serba salah, namun tetap akur dengan arahan dibuat.

ABDUL LATIF UMAR

“Pihak sekolah dan ins­titusi seliaan kementerian kehilangan sumber rujukan dan maklumat penting peristiwa dalam dan luar negara kerana akhbar dengan moto Pemikiran Baharu tidak dapat dibaca boleh guru dan pelajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Utusan Malaysia menjadi akhbar nombor satu negara sejak dulu dan kini kerana pengisiannya berkaitan semua aspek kehidupan seperti budaya, bahasa, politik, sosial, pendidikan dan global menanam semangat jati diri rakyat,” katanya semalam.

Bekas guru, Hussien Jaafar, 84, mengakui Utusan Malaysia sebagai suara keramat yang banyak jasanya kepada orang Me­layu dan pembangunan negara.

Sehubungan itu, jelasnya, pemimpin dan orang Melayu perlulah menjaga Utusan Malaysia dengan sebaik-baiknya.

“Jangan ditebang pokok dengan perdunya, kelak suatu ketika tiada siapa lagi dapat buah yang lazat, masam manis dan kelat yang dapat membetulkan kesilapan,” katanya berkias.

Sebagai contoh ujarnya, kesilapan Kementerian Pendidikan memansuhkan pembelajaran tulisan Jawi dalam sistem pendidikan sekitar 1967 menyebabkan kebanyakan generasi baharu buta Jawi.

Seorang guru sebuah sekolah menengah di Temerloh, Mohd. Yusri Alias, 48, berkata, penarikan balik arahan larangan langganan Utusan Malaysia menjadikan pusat sumber sekolah dan bilik guru kembali meriah dengan akhbar berkenaan.

Menurutnya, Utusan Malaysia kerap dijadikan bahan bantuan mengajar terutama yang memberi manfaat kepada pelajar dan calon peperiksaan awam. Pesara guru Sadun Selam,63, menyifatkan tahun 2024 sebagai sinar baharu kepada akhbar berkenaan kerana boleh kembali ke sekolah setelah enam tahun menyepi dalam masyarakat pendidik.

“Saya berharap pihak sekolah dan institusi dapat melanggan akhbar Utusan Malaysia yang dianggap sebagai suara dan jiwa raga orang Melayu,” katanya.

Pada Julai 2018, satu memo dikeluarkan oleh penasihat menteri pendidikan yang mengarahkan sekolah, universiti, kolej dan ins­titusi di bawah bidang kuasanya untuk berhenti melanggan akhbar Utusan Malaysia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini