PETALING JAYA: Agenda dan isu politik akan terus berkembang selari dengan perkembangan kepentingan semasa sama ada yang melibatkan parti pemerintah atau pembangkang.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Afifi Abdul Razak berkata, keadaan itu juga boleh berpunca daripada pembangkang yang dilihat seolah-olah tidak senang dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kebelakangan ini.
Pada sama, kata beliau, kerajaan juga dilihat gusar dengan ’Langkah Dubai’ dan dakwaan ‘pembangkang sudah cukup SD (Akuan Bersumpah)’ yang secara tidak langsung boleh memberi impak negatif kepada negara sekiranya ia benar-benar berlaku.
“Kerajaan yang terdahulu pun biasa memberikan reaksi yang sedemikian sekiranya terdapat ura-ura gerakan daripada pembangkang yang boleh menjejaskan kestabilan negara,” katanya.
Semalam, Anwar mendakwa pembangkang tidak ada keyakinan untuk membawa usul tidak percaya terhadap beliau di Parlimen walaupun mendakwa mereka mempunyai SD mencukupi daripada ahli Parlimen yang menyokong mereka.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Romzi Ationg pula berkata, kerajaan perlu mengambil kira hakikat setiap blok politik sentiasa berusaha untuk memastikan ideologi dan imej parti masing-masing lebih baik daripada parti yang lain.
“Mengambil kira tekanan yang diwujudkan pihak lawan, kerajaan perlu mengemukakan langkah seterusnya dengan mengambil tindakan penyelesaian bagi masalah berkaitan,” katanya. – UTUSAN











