RANCANGAN kerajaan Sri Lanka untuk mengharamkan pemakaian burqa dan menutup lebih 1,000 sekolah pondok atau madrasah atas alasan mengancam keselamatan negara disifatkan berat sebelah dan ‘membabi buta’
Keputusan tersebut secara tidak langsung dilihat sebagai antara langkah berterusan yang dilakukan oleh kerajaan Sri Lanka untuk menyisihkan komuniti Islam di negara itu.
Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekara memaklumkan beliau sudah menandatangani dokumen berhubung isu berkenaan bagi mendapatkan kelulusan Kabinet menteri.
Katanya, burqa memberi kesan secara langsung kepada keselamatan Sri Lanka.
Selain itu, Weerasekara juga mengumumkan lebih 1,000 madrasah akan ditutup kerana tidak berdaftar dengan kerajaan dan tidak mempunyai polisi pembelajaran yang ditetapkan.
Dalam pada itu, antara ‘usaha’ lain yang dilakukan Sri Lanka untuk terus menolak Islam adalah ketika kematian penduduk akibat pandemik Covid-19 memuncak di negara ini.
Parlimen kerajaan itu membuat peraturan baharu yang menyaksikan semua mayat pesakit Covid-19 perlu dibakar termasuk mereka yang beragama Islam.
Sudah jelas tindakan itu bertentangan dengan ajaran Islam dan pelbagai organisasi dan kumpulan aktivis Islam membantah peraturan berkenaan.
Colombo menegaskan peraturan itu dikuatkuasakan kerana wujud kebimbangan virus Covid-19 akan mencemari air bawah tanah yang kemudiannya memasuki saluran paip air penduduk jika mayat pesakit koronavirus ditanam.
Namun, akibat tekanan demi tekanan, kerajaan Sri Lanka akhirnya menarik balik larangan tersebut, membolehkan jenazah Covid-19 dikebumikan secara sempurna mengikut ajaran Islam.
Terdapat kira-kira sembilan peratus komuniti Islam daripada 22 juta populasi di Sri Lanka dengan sebanyak 70 peratus penduduknya beragama Buddha.
Bakal jadi macam Rohingya?
Diskriminasi yang diterima penduduk bergama Islam di Sri Lanka ketika ini mengingatkan dunia mengenai krisis etnik Rohingya di negeri Rakhine, utara Myanmar sebelum ini.
Etnik minoriti itu berdepan dengan krisis kemanusiaan terbesar pada 2015 apabila ratusan ribu penduduk Rohingya melarikan diri dari Rakhine susulan tindakan ketenteraan Myanmar.
Rohingya yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar ditindas dengan kejam dan menyebabkan etnik itu kini ‘bersepah’ di beberapa negara jiran untuk meneruskan kehidupan.
Tidak mustahil jika apa yang berlaku kepada etnik Rohingya juga boleh terjadi terhadap komuniti Islam di Sri Lanka pada masa akan datang.
Penduduk Islam terus jadi sasaran
Aktivis wanita dan keamanan Sri Lanka, Shreen Saroor berkata, langkah tersebut dibuat ketika penduduk Islam di negara itu terus menjadi sasaran diskriminasi.
“Keputusan untuk mengharamkan burqa dan madrasah merupakan sebahagian daripada reaksi Islamofobia di Sri Lanka.
“Belum reda dengan isu pembakaran mayat pesakit Covid-19, kini semakin banyak ‘hukuman’ dikenakan terhadap komuniti Islam,” katanya.
Jelas Shreen, penduduk Islam tidak dirujuk terlebih dahulu dan kerajaan Sri Lanka membuat keputusan terburu-buru.
Apa beza pelitup muka dan burqa?
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini mewajibkan semua penduduk memakai pelitup muka bagi mengekang penularan jangkitan virus tersebut.
Keadaan yang menyaksikan orang ramai berpelitup muka ketika melakukan aktiviti harian tidak lagi asing malah semakin diterima.
Namun, burqa yang juga dipakai sama seperti pelitup muka didakwa boleh mengancam keselamatan negara sehingga boleh mencetuskan kegiatan keganasan.
Bukankah keganasan itu boleh berlaku dalam apa jua keadaan, waima pelakunya tidak berpakaian sekali pun?
Pemakaian burqa di Sri Lanka sebelum ini pernah diharamkan sementara pada 2019 selepas insiden pengeboman di gereja dan hotel oleh kumpulan bersenjata yang menyebabkan lebih 250 orang terbunuh.










