SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu wawancara di televisyen menzahirkan harapan agar pintu sempadan republik ini dapat dibuka semula menjelang hujung tahun ini ketika kebanyakan negara bertungkus-lumus melaksanakan program vaksinasi Covid-19.
Singapura ketika ini menutup pintu sempadan untuk pelancongan, namun masih membuka program kunjungan untuk kegiatan rasmi serta perniagaan.
“Saya berharap kebanyakan negara dapat melaksanakan program vaksinasi dalam skala besar-besaran menjelang hujung tahun ini dan Singapura akan mempunyai keyakinan untuk membuka semula pintu sempadan antarabangsa.
“Saya menyasarkan pintu sempadan republik ini boleh dibuka hujung tahun ini atau lebih awal,” katanya dalam wawancara bersama BBC.
Kadar jangkitan Covid-19 di republik ini dilaporkan terkawal dengan merekodkan kes jangkitan baharu yang minimum, selain sudah memulakan program vaksinasi menggunakan vaksin keluaran Pfizer dan Moderna.
Sehingga 8 Mac lalu, Singapura sudah memberi 611,000 dos vaksin kepada penduduknya dan dijangka kesemua 5.7 juta populasi di republik ini bakal disuntik vaksin menjelang akhir tahun ini.
Selain itu, Hsien Loong memaklumkan masih ada rakyat republik ini enggan mengambil vaksin susulan kadar jangkitan yang rendah dan bimbang mengenai kesan sampingan pengambilannya.
Singapura turut menerima bekalan vaksin keluaran Sinovac dan dalam proses untuk meluluskan penggunaannya.
Hsien Loong memaklumkan vaksin tersebut akan digunakan sekiranya menepati tahap piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan republik ini.
“Vaksin tidak melambangkan kerakyatan. Soalnya, adakah ia bagus atau tidak? Jika selamat, kami akan gunakan untuk luaskan program vaksinasi,” ujarnya. – REUTERS










