Tanaman nanas ‘dihenyak’ gajah liar, pengusaha rugi RM40,000

Tanaman nanas ‘dihenyak’ gajah liar, pengusaha rugi RM40,000

SEBAHAGIAN kawasan tanaman nanas dimusnahkan kawanan gajah liar di Taman Pertanian Gelanggi, Pulau Tawar di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Dua orang pengusaha tanaman nanas mengalami kerugian hampir RM40,000 berikutan pencerobohan kawanan gajah liar di Tapak Pertanian Gelanggi, Pulau Tawar di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik tanaman nanas, Zainul Ismail, 66, berkata, kejadian itu berlaku dua malam berturut-turut apabila kawanan gajah liar antara enam hingga lapan ekor menceroboh kawasan tanaman seluas kira-kira setengah hektar itu antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi.

“Sebanyak 600 benih pokok nanas yang ditanam pada November tahun lalu termasuk pokok yang sudah matang musnah keseluruhannya dipijak termasuk batas (tanaman) dan pagar kawasan tanaman pokok ini.

“Buat permulaan, kami menanggung kerugian hampir RM5,000 menyediakan benih pokok nanas, membina pagar dan pengurusan kebun termasuk upah buruh,” katanya di sini semalam.

Menurut Zainul, jika tanaman tersebut tidak diceroboh gajah liar, lebih 3,000 biji nanas boleh diperoleh membabitkan hasil jualan sebanyak RM40,000.

Beliau berkata, kawanan gajah liar itu sudah lama berkeliaran di pinggir hutan berdekatan Gua Bersejarah Kota Gelanggi, Kampung Bukit Rang dan ladang sawit Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang.

Jelasnya, kawasan habitat haiwan itu di Hutan Simpan Lepar sudah diteroka dengan aktiviti pembangunan dan pembalakan sejak lebih sedekad lalu menyebabkan haiwan liar itu merayau masuk ke kampung dan kawasan tanaman komersial di tapak pertanian itu.

Rakan kongsinya, Hafizi Ghani, 36, berkata, sekiranya keadaan itu berterusan, sudah tentu pengusaha di situ berdepan kerugian pada masa akan datang dan tidak mampu lagi mengeluarkan perbelanjaan wang sendiri untuk projek tanaman komersial.

“Kita mengambil masa panjang untuk memulihkan semula tapak tanaman nanas ini memandangkan keseluruhan benih pokok musnah dan kerosakan pagar terpaksa dibaiki menggunakan duit sendiri,” katanya.

Ujarnya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan sewajarnya supaya gajah liar tidak lagi menceroboh ke kawasan tanaman bagi membolehkan pengusaha di situ dapat menikmati hasil dan pulangan modal pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×